24
Sat, Jun
8 Artikel Baru

PAS Terengganu syukur, Presiden sihat keluar IJN

Berita
Typography

PAS Terengganu mengucapkan syukur ke hadrat Allah SWT kerana Presiden PAS, Datuk Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang telah dibenarkan keluar dari Institut Jantung Negara (IJN).

Husain2Pesuruhjayanya, Datuk Ustaz Husain Awang berdoa agar Allah sentiasa memberikan kesihatan kepada Tok Guru dan semoga terus dapat memimpin ummah.

“Kita mengucapkan syukur Alhamdulillah, semoga Tuan Guru cepat pulih dan kembali memimpin PAS dan ummah umumnya,” ujarnya dipetik Buletin Online.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pada Majlis Iftar Bersama Kakitangan Pejabat Perhubungan PAS Terengganu di sebuah restoran di Kuala Terengganu, petang semalam.

Turut sama pada majlis itu ialah Ketua Penerangan PAS negeri, Ustaz Mohd Nor Hamzah, Ketua Muslimat, Hajah Zarani Othman, Pengarah Pilihan Raya, Ariffin Deraman dan penolong setiausaha, Ustaz Wan Sukairi Wan Abdullah.

Dalam ucapan ringkasnya pada majlis, Ustaz Husain mengucapkan terima kasih kepada semua kakitangan pejabat PAS yang telah berkorban memikul amanah masing-masing dengan imbuhan seadanya.

Katanya, dengan kerja kuat para pekerja, PAS Terengganu kini bersedia sepenuhnya pada tahap untuk menerima kemenangan kali ketiga pada pilihan raya akan datang.

“Saya mengucapkan terima kasih kepada semua kakitangan yang bekerja tidak kira waktu, siang dan malam, bahkan ada yang menunaikan amanah sehingga tidak pulang ke rumah, umpamanya ketika bertugas pada Himpunan Harap 3.6 baru-baru ini sehingga kita sekarang ni berada pada tahap yang ada sekarang ini, bersedia kali ketiga menerima kemenangan, insya Allah, pada pilihan raya akan datang,” katanya.