Apa sebenarnya cukai pelancongan?

Berita
Typography

DEWAN Pemuda Ikatan Malaysia berpendapat Kementerian Pelancongan perlu mengambil inisiatif untuk menerangkan kepada rakyat Malaysia secara umumnya, dan pengusaha premis-premis pelancongan dan penginapan secara khususnya mengenai isu Cukai Pelancongan 2017.

Ini kerana menurut Ketua Pemuda Ikatan Malaysia Malaysia Shahir Adnan beberapa persoalan telah timbul mengenai isu cukai pelancongan ini yang akan dilaksanakan bermula bulan depan.

Katanya, rakyat telah melihat berlaku ketidaksefahaman antara Kerajaan Persekutuan dan Kerajaan Negeri dalam isu ini, terutama Kerajaan Negeri yang diterajui oleh Barisan Nasional.

Jelasnya, cukai pelancongan ini bertujuan untuk dijadikan sebagai cukai persekutuan namun, sesetengah negeri juga mempunyai hak untuk mengenakan cukai melalui saluran majlis perbandaran, contohnya di Melaka.

"Adakah dua jenis cukai yang dikenakan iaitu satu cukai persekutuan dan satu lagi cukai negeri? Pemuda Ikatan menyarankan suatu garis panduan untuk Kerajaan Persekutuan dan Kerajaan Negeri dibuat bagi mengelak berlakunya pertindihan atau perselisihan cukai," katanya kepada Harakahdaily.

Beliau turut menyarankan Kementerian Pelancongan menghebahkan jenis premis pelancongan yang akan dikenakan cukai dan pengecualiannya.

Dewasa ini, katanya, ramai anak muda mula menceburi perniagaan “homestay” atau “Airbnb” secara atas talian untuk menambah duit poket bulanan.

"Kami tidak mahu melihat anak muda tersungkur dalam perniagaan premis penginapan dek kerana bebanan cukai atau kerana terjejasnya industri pelancongan," tambah beliau.

Pemuda Ikatan menggesa kerajaan bersifat telus untuk melaporkan bagaimana pulangan cukai yang dikutip akan digunakan untuk melonjakkan industri pelancongan negara dan membantu negeri-negeri yang berperanan sebagai pusat pelancongan Malaysia kerana dianggarkan kerajaan akan mengutip sehingga RM654 juta jika kadar penginapan adalah 60 peratus.

Justeru katanya, yang menyarankan pihak kerajaan untuk meneliti aspek-aspek yang berkait dengan isu cukai pelancongan ini.

Rang Undang-Undang Cukai Pelancongan 2017 telah dibentangkan pada sidang Parlimen yang lepas oleh Menteri Pelancongan dan diluluskan dengan undian majoriti.

Pelaksanaan Cukai Pelancongan dengan kadar RM2.50 hingga RM20 untuk penginapan semalam akan dilaksanakan bermula 1 Julai 2017. – HARAKAHDAILY 13/6/2017