24
Sat, Jun
8 Artikel Baru

Ziarah sahur santuni anggota bomba, polis

Berita
Typography

LAJNAH Pekerja, Pengguna dan Alam Sekitar (LPPAS) Dewan Pemuda PAS Malaysia pada dinihari ini bersama sama dengan Jabatan Amal Perlis serta Dewan Pemuda PAS Negeri Perlis melakukan ziarah sahur di Kangar, Kuala Perlis dan semua balai polis serta bomba di negeri ini.

Balai Polis Kangar dan IPK Perlis antara lokasi awal yang diziarahi dinihari ini. Manakala Balai Bomba Kangar serta Balai Bomba Kuala Perlis menjadi destinasi seterusnya dalam program ramah mesra yang dikenali sebagai Singgah Sahur ini.

Bermula jam 12 malam lagi, makanan sahur dibungkus sebanyak 200 pek sebagai persediaan program yang dimulakan pada jam 3 pagi kemudiannya. Program Singgah Sahur ini mendapat sambutan mesra daripada anggota bomba dan polis di lokasi lokasi yang dilawati.

Program ini sejajar dengan budaya politik matang dan sejahtera yang diamalkan PAS saat ini dalam usaha berterusan melebarkan dakwah serta politik kasih sayang dalam kalangan rakyat khususnya penjawat awam.

LPPAS juga menyeru sahabat sahabat di semua peringkat untuk sama sama menyantuni para penjawat awam melalui program seumpama yang dilaksanakan di Perlis ini agar rakyat terus merasai kehadiran dan denyut nadi semangat juang Pemuda PAS dalam kehidupan mereka sehari hari.

LPPAS juga merasa terharu dengan pengorbanan penjawat awam yang berkorban dan bertugas pada waktu malam sebegini. Semoga jasa dan pengorbanan kalian yang bertugas demi keselesaan dan keselamatan rakyat akan mendapat ganjaran di sisi Allah SWT. – HARAKAHDAILY 18/6/2017

ziarah sahur 1

ziarah sahur 2

ziarah sahur 3