PAS terokai kerjasama pembangkang tanpa PAN, DAP

Berita
Typography

GAGASAN Sejahtera sebagai blok ketiga selepas Barisan Nasional (BN) dan Pakatan Harapan (PH), yang diterokai PAS masih terbuka kepada semua parti kecuali PAN dan DAP.

Naib Presiden PAS, Datuk Mohd Amar Nik Abdullah berkata, gabungan tersebut merupakan cara politik PAS bagi menghadapi pilihan raya umum (PRU) tidak lama lagi.

Menurutnya juga PAS bersedia bertembung dalam pelbagai penjuru sekiranya PH tidak serius melawan Umno dan BN.

"Kita boleh bekerjasama dengan sesiapa sahaja kecuali PAN dan DAP, tidak kira apa bentuk hubungan seperti kerjasama atau persefahaman.

"Bahkan kita menawarkan kepada PPBM dan juga PKR untuk bersama kita sekiranya mereka tidak berminat lagi dengan PH," katanya pada dialog bersama media sempena program iftar anjuran Pejabat Menteri Besar, malam tadi.

Hadir sama Menteri Besar, Ustaz Datuk Bentara Kanan Ahmad Yakob dan anggota-anggota Exco.

Mohd Amar yang juga Timbalan Menteri Besar menambah, sekiranya PKR dan PPBM boleh memutuskan hubungan itu, kekuatan menumbangkan BN akan bertambah. - HARAKAHDAILY 19/6/2017