Sidebar

21
Thu, Sep
32 Artikel Baru

Husam MB yang dipilih DAP

Berita
Typography

PAS tidak perlu mengikut jejak Naib Presiden Parti Amanah Negara (PAN), Datuk Husam Musa yang menyenaraikan nama menteri besar Kelantan lebih awal.

Naib Presiden PAS, Datuk Mohd Amar Abdullah berkata, Kelantan masih mempunyai menteri besar sekarang.

“Selepas PRU 14 nanti tentu sekali lagi Ustaz Datuk Bentara Kanan Ahmad Yakob dilantik menjadi menteri besar sekiranya PAS kekal menguasai kerajaan.

“Saya rasa pemimpin PAN mengigau sebab Kelantan sudah ada menteri besar tiba-tiba dia minta senarai nama pula,” katanya di Kota Bharu.

Beliau berkata demikian sebagai mengulas kenyataan Husam yang mendesak PAS menamakan calon menteri besar untuk PRU 14.

Katanya, PAS tidak perlu namakan menteri besar seperti dilakukan pemimpin PAN.

“Senarai nama menteri besar biasanya akan dinamakan sewaktu kita belum pegang kuasa.

“Sekarang kita dah pegang kuasa kerajaan, yang  menjadi menteri besar sekarang inilah yang akan menjadi menteri besar selepas ini selagi masih sihat,” ujarnya.

Katanya, menteri besar Kelantan sekarang bertugas dengan baik, malah ia dipilih sendiri Allahyarham Tuan Guru Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat dan dipersetujui istana.

Tambahnya, sedangkan Husam dipilih DAP yang tidak ada pula penyokong di Kelantan.

“Cuma pandangan saya, sesiapa yang nak jadi menteri besar kena pastikan parti yang didokongi itu menang dahulu.

“Ini tidak, kawin belum lagi, tiba-tiba dah ada calon nama anak, macamana,” ujarnya. - HARAKAHDAILY 6/7/2017