Sidebar

21
Thu, Sep
32 Artikel Baru

Opick bakal meriahkan Ijtimak Antarabangsa Ummah

Berita
Typography

SELEBRITI dakwah dari Indonesia Opick dijangka memeriahkan lagi Ijtimak Antarabangsa Perpaduan Ummah Rantau Asia kali ke-4 yang akan diadakan di Kota Bharu mulai 20 Julai ini.

Bekas penyanyi rock tersebut akan digandingkan bersama Derry Sulaiman dan Shoutul Amal pada slot persembahan nasyid antarabangsa pada malam 21 Julai, bertempat di Dataran Stadium Sultan Muhammad Ke-IV.

Sebelum itu pada 3 petang diadakan pentomen Tok Janggut Menentang British, solidariti Rohingya dan pentas muslimat bersama pimpinan muslimat gerakan Islam antarabangsa.

Solat hajat, zikir dan munajat juga diadakan sebelum persembahan nasyid antarabangsa. Kesemua program itu diadakan di Dataran Stadium.

Pada 3 Mac 2012 Opick pernah membuat persembahan di Stadium Sultan Muhammad IV, sempena program Tahun Melawat Kelantan 2012.

Penyanyi itu berganding dengan Ramli Sharif dari Singapura dan Kumpulan Raihan. Program tersebut dirasmikan Sultan Muhammad V. Hadir sama Tuan Guru Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat.

Kira-kira 5,000 membanjiri stadium biarpun pada awal malam hujan agak lebat di Kota Bharu.

Setiausaha Agung PAS, Datuk Takiyuddin Hassan berkata, pada petang hari yang sama diadakan perasmian serentak persidangan dakwah dan nadwah ulama di Kelantan Trade Centre.

Katanya, perasmiannya akan disempurnakan Naib Ketua Kesatuan Ulama Islam Sedunia, Datuk Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang.

“Persidangan pula diadakan di tempat berasingan iaitu nadwah ulama di KTC dan persidangan dakwah pula di Dewan Teratai Kota Darulnaim,” katanya di Kota Bharu.

Sempena persidangan tersebut kerajaan negeri menyediakan tiga bas bagi mengangkut peserta.  

Ijtimak tersebut yang dianjurkan kerajaan negeri dengan kerjasama Kesatuan Ulama Islam Sedunia bermula petang 20 Julai, dimulai program khas ulama, muslimat dan pemuda.

Praperasmian ijtimak itu akan diadakan di Dataran Stadium disempurnakan Menteri Besar, Ustaz Datuk Bentara Kanan Ahmad Yakob pada jam 9 malam. – HARAKAHDAILY 10/7/2017