26
Wed, Jul
25 Artikel Baru

Dr Zakir sah hadiri Ijtimak Perpaduan Ummah

Berita
Typography

IJTIMAK Antarabangsa Perpaduan Ummah Rantau Asia kali ke-4 sehingga kini menerima pengesahan kehadiran tokoh-tokoh agama dan ulama dari 23 negara.

Mereka termasuk dari Timor Leste, Papua New Guinea, Jepun, Korea, Singapura, Sudan, Turki, Pakistan, Bangladesh, Sri Lanka, Kempuchea, Brunei, Australia, New Zealand, Hong Kong dan Loas.

Manakala tokoh-tokoh besar yang akan hadir termasuk Dr Zakir Naik.

Timbalan Presiden PAS, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man berkata, tokoh-tokoh lain termasuk Penolong Setiausaha Agung Kesatuan Ulama Sedunia, Sheikh Ghafar Abdul Aziz dari Pakistan.

Selain itu Ketua Umum Dewan Dakwah Islamiah Indonesia Dr Muhamad Siddik dan Dr Saadat Husaini dari India.

“Ijtimak itu akan membincang pelbagai isu khususnya berkaitan perpaduan ummah. Dan kita juga membentuk jawatankuasa bertindak.

“Selepas seminar kita akan membentuk dua jawatankuasa bagi terjemahkan apa yang dibincang pada ijtimak tersebut,” katanya pada persidangan media di Kota Bharu hari ini.

Sidang media itu diadakan sebelum mesyuarat kali terakhir jawatankuasa induk ijtimak tersebut. Hadir sama Timbalan Menteri Besar Kelantan, Datuk Mohd Amar Abdullah dan anggota jawatankuasa PAS Pusat.

Ustaz Tuan Ibrahim juga berkata, Naib Pengerusi Kesatuan Ulama Sedunia, Datuk Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang juga akan turut hadir dan merasmikan ijtimak tersebut.

“Kesihatan beliau sekarang sangat baik. Beliau bagi komitmen untuk hadir sepnuhnya kedua-dua program sama ada pada seminar dan ijtimak,” katanya.

Beliau juga menjangka kehadiran ijtimak tersebut kira-kira 100,000 termasuk tetamu dalam dan luar negara. - HARAKAHDAILY 10/7/2017