26
Wed, Jul
25 Artikel Baru

Tarian gelek di majlis perkahwinan langgar peraturan

Berita
Typography

ISU tular di media sosial gambar tarian gelek di majlis perkahwinan di Tumpat yang digabung persembahan artis popular, Awie di stadium turut menarik perhatian persidangan Dewan Undangan Negeri (Dun) hari ini.

HASSAN MAHMOODDatuk Hassan Mohamood (PAS-Tawang) berkata, tindakan pihak tertentu menggabungkan dua peristiwa pada satu gambar boleh mengelirukan orang ramai.

Sedangkan katanya ia berlaku pada program berasingan, di mana persembahan Awie di Stadium Sultan Muhammad IV anjuran kerajaan negeri, sedangkan tarian gelek di Tumpat.

Mencelah bagi menjawab isu tersebut anggota Exco kerajaan negeri, Datuk Che Abdullah Mat Nawi berkata, kejadian dikir barat yang mempersembahkan tarian gelek berlaku tidak jauh dari Dun Wakaf Bharu.

“Saya difahamkan tempat berlangsung dikir barat itu milik penyokong parti pembangkang di Kelantan. Pemuda PAS Tumpat hadir ke rumahnya bagi mendapat gambaran sebenar,” katanya.

Video tarian gelek penyanyi dikir barat wanita dimuat turun di laman facebook yang memaparkan adegan tidak sopan. Ia berlaku di majlis perkahwinan di rumah seorang penduduk di Padang Tembesu.

Semalam, Ketua Pemuda PAS Tumpat, Mohd Hushaimi Hussian berkata, tuan rumah tempat berlangsung dikir barat tersebut memohon maaf kepada orang ramai.

“Pok Nik tidak mahu peristiwa yang berlaku itu boleh mencemarkan nama baik kerajaan negeri,” katanya.

Menjelas isu terbabit anggota Exco kerajaan negeri, Datuk Abdul Fattah Mahmood berkata, ada pihak yang dengki dengan kejayaan program Kelantan International Bike Week 2017.

Katanya, program berkenaan disertai 4,500 pemilik motosikal berkuasa besar yang datang dari seluruh negara, sedangkan jangkaan awal 2,000 peserta.

“Ada pihak iri hati sebar gambar tarian gelek di Tumpat dengan gambar Awie di stadium, sedangkan ia program berbeza dan di tempat berlainan.

“Tarian gelek dikir barat di majlis perkahwinan itu melanggar undang-undang kecil pihak berkuasa tempatan dan Enakmen Hiburan dan Tempat-Tempat Hiburan 1998,” katanya. - HARAKAHDAILY 11/7/2017