Sidebar

21
Thu, Sep
32 Artikel Baru

Guru ganti Yik dibayar elaun khas

Berita
Typography

WALAUPUN tidak bertugas pada bulan Disember setiap tahun, namun guru ganti Yayasan Islam Kelantan (Yik) akan dibayar elaun khas mulai tahun ini.

Elaun khas sebanyak RM500 akan dibayar kepada 217 guru ganti yang sedang berkhidmat di Yik bagi menjaga kebajikan mereka.

Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Insan, Pendidikan dan Pengajian Tinggi negeri, Datuk Dr Mohamed Fadzli Hassan berkata, insentif itu diperkenalkan mulai tahun ini.

“Insentif terbabit melibatkan peruntukan sebanyak RM108,500,” katanya ketika menjawab soalan Ahmad Fathan Mahmood (PAS-Chempaka) pada persidangan Dun di Kota Bharu hari ini.

Selain itu kata beliau kerajaan negeri memperkenalkan skim perlindungan takaful berkelompok kepada semua guru dan kakitangan Yik.

Menurutnya, skim tersebut melibatkan seramai 2,519 guru dan kakitangan Yik yang melibatkan caruman sebanyak RM151,140 setahun.

Dr Mohamed Fadzli juga berkata, kerajaan negeri akan menaik taraf sebuah sekolah agama bantuan kepada maahad kerajaan dalam tempoh setahun mulai 2018.

Kata beliau antaranya Sekolah Menengah Ugama (Arab) Taqadum Maarif Pasir Tumbuh.

Beliau berkata, usaha itu bagi memberi pengiktirafan dan menaikkan imej pengetua dan pentadbir sekolah.

“Selain itu meningkat komitmen guru-guru, membantu pembangunan fizikal sekolah, meningkatkan kecemerlangan peperiksaan dan pembangunan insan serta menambah daya saing antara sekolah menengah bantuan dengan maahad kerajaan,” katanya.

Kerajaan negeri juga akan melantik pembantu operasi di sekolah agama bantuan yang mempunyai bilangan pelajar lebih daripada 400 orang. - HARAKAHDAILY 11/7/2017