26
Wed, Jul
25 Artikel Baru

Kelantan tiada kaitan syarikat EcoBit - MB

Berita
Typography

MENTERI Besar Kelantan menjelaskan dakwaan ada ahli lembaga pengarah Climate Protector Sdn Bhd (CP) menubuh syarikat lain, dianggap tiada kaitan dengan kerajaan negeri.

Ustaz Datuk Bentara Kanan Ahmad Yakob berkata, kalau ada salah seorang ahli lembaga CP mewujudkan syarikat lain, ia tidak mengena dengan kerjasama yang dilakukan sebelum ini.

“Ada pihak mendakwa ada pengarah syarikat itu menubuh satu syarikat lain yang dikatakan membuat perniagaan mengambil wang daripada orang lain.

“Itu yang dituduh pihak tertentu. Perkara ini dibesarkan mereka. Bagi saya kalau betul wujud pula syarikat EcoBit maka CP mesti mengambil tindakan.

“Kena ambil tindakan undang-undang kerana kerajaan negeri tiada kaitan dengan mereka,” katanya di Kota Bharu hari ini.

Baru-baru ini, Naib Presiden PAN, Datuk Husam Musa mendakwa syarikat Climate Protector menggunakan kelulusan sejuta ekar untuk mengutip wang orang ramai dengan menjual token atau 'cryptocurrency' dipersetujui kerajaan negeri.

Pada 9 Januari lepas kerajaan Kelantan menandatangani Memorandum Perjanjian (MOA) dengan Climate Protector bagi mengenal pasti stok karbon di kawasan hutan seluas satu juta ekar.

Menteri Besar juga berkata, kerjasama dengan CP tidak menyebabkan tanah hutan di Kelantan tergadai.

“Ini kerana perjanjian dengan CP diselia 100 peratus Penasihat Undang-Undang Negeri dan pelaksanaan di bawah Jabatan Perhutanan.

“Dan kita lihat perjanjian itu tiada ruang yang boleh pihak terlibat membuat manipulasi. Ini kerana ia tiada kaitan dengan tanah dan pokok,” katanya.

Lagipun, kata beliau Jabatan Perhutanan belum lagi menerima permohonan daripada CP untuk masuk ke kawasan hutan bagi melakukan audit karbon. - HARAKAHDAILY 13/7/2017