Sidebar

21
Thu, Sep
32 Artikel Baru

DHPP teruskan usaha tarik sokongan non-Muslim

Berita
Typography

TANPA Pakatan Harapan yang menggabung sebahagian pembangkang tidak menghalang Dewan Himpunan Penyokong PAS (DHPP) bagi meneruskan gerak kerja menarik sokongan penduduk non Muslim.

Timbalan Pengerusi DHPP Pusat, Lim Guan Seng berkata, mereka tetap bekerja seperti ketika kempen pilihan raya sebelum ini terutamanya di Kelantan biarpun tanpa penglibatan DAP.

Katanya, DHPP tidak akan berhenti bagi meneruskan perjuangan bersama PAS.

“Kena sentiasa memberi perhatian kepada masyarakat Cina dan kaum minoriti lain di Kelantan. Rakyat tidak mahu kita hanya turun padang lima tahun sekali.

“Kita perlu bekerja keras bagi mempertahankan kerajaan negeri yang ada sekarang, di samping meningkatkan sokongan di luar Kelantan,” katanya di Kota Bharu.

Harapan baru-baru ini mengumumkan struktur baharu yang diketuai bekas perdana menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad, manakala Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail sebagai Presiden.

Timbalan Presiden pula Tan Sri Muhyiddin Yassin, Mohamad Sabu dan Lim Guan Eng.

Guan Seng yang juga Pengerusi DHPP Kelantan berkata, sokongan masyarakat non Muslim di Kelantan tidak menjadi masalah kerana mereka merasaikan sendiri suasana kehidupan di bawah kerajaan dipimpin PAS.

“Lebih-lebih lagi anggota Exco kerajaan negeri, Datuk Anuar Tan menjadi idola masyarakat Cina di Kelantan. Pengaruh peribadinya begitu kuat.

“Beliau sentiasa menjaga kebajikan masyarakat Cina dan kaum-kaum minoriti lain,” ujarnya. – HARAKAHDAILY 16/7/2017

Datuk Anuar Tan komuniti Cina