26
Wed, Jul
25 Artikel Baru

Tanah runtuh: Penduduk gesa kerajaan P.Pinang ambil tindakan

Berita
Typography

PENDUDUK Paya Terubong menggesa kerajaan negeri Pulau Pinang menyemak atau mendefinisikan semula apa itu ‘projek khas’ dalam garis panduan 2009 dalam usaha untuk melarang sebarang pembangunan pada masa hadapan di atas tanah bukit kecuali untuk kemudahan awam yang penting, sementara menunggu semakan semula Pelan Struktur baharu.

Pelan Struktur Pulau Pinang 2020 yang diwartakan pada 2007 dan menyatakan bahawa pengecualian larangan pembangunan tanah bukit hanyalah untuk ‘projek khas’ tetapi ia tidak menjelaskan apakah ‘projek khas’ itu. Definisi dan garis panduan bagi ‘projek khas’ itu diluluskan oleh kerajaan sekarang pada 2009.

Di dalam satu kenyataan yang dikeluarkan oleh 13 persatuan penduduk, mereka meminta kerajaan negeri memastikan larangan sebarang pembangunan pada masa hadapan di atas tanah bukit kecuali untuk kemudahan awam yang penting

Menurut salah wakil  Persatuan Penduduk Tanjung Bungah Meenakshi Raman  menggesa pihak berkuasa Persekutuan dan Negeri yang berkaitan serta Majlis Bandaraya Pulau Pinang supaya mengambil tindakan segera yang sewajarnya untuk memastikan bahawa tiada lagi berlakunya kejadian tanah runtuh dan menstabilkan cerun bukit.

"Sebarang projek pembangunan di kawasan yang mungkin menyumbang kepada kejadian tanah runtuh mestilah disiasat dengan segera dan dipantau dengan tindakan diambil untuk mencegah berlakunya sebarang kejadian dan tragedi yang tidak diingini.          

"Kejadian tanah runtuh yang berlaku baru-baru ini boleh menjadi satu amaran kepada kita yang tidak boleh diabaikan berhubung masalah yang berkaitan dengan kestabilan tanah dan cerun bukit di kawasan itu. Ini terutama sekali apabila dijangkakan hujan lebat dalam beberapa hari akan datang," katanya kepada Harakahdaily.

Wakil penduduk daripada beberapa kawasan perumahan di Pulau Pinang, menyuarakan kebimbangan berhubung kejadian tanah runtuh di kawasan cerun bukit berdekatan Lebuh Rambai 13, di Paya Terubong, Pulau Pinang yang berlaku pada pagi Jumaat, 14 Julai 2017.

Tanah runtuh itu berlaku ekoran hujan lebat yang turun pada pagi Jumaat. Agak bernasib baik kali ini kerana tidak berlaku sebarang kematian.

Katanya, kejadian tanah runtuh di Paya Terubong sekali lagi mendedahkan akan bahaya membenarkan pembangunan dilakukan di kawasan lereng bukit dan bukit yang merupakan kawasan alam sekitar yang sensitif,  terutama sekali apabila ramai penduduk tinggal di kaki bukit di kawasan projek yang dicadangkan sepertimana dalam kes di Paya Terubong dan Sungai Ara.

"Memandangkan beberapa tragedi yang berlaku sebelum ini seperti kejadian tumbangnya Highland Towers dan tanah runtuh di Cameron Highlands, kerajaan perlu lebih berhati-hati untuk tidak membenarkan projek pembangunan di kawasan alam sekitar yang sensitif seperti kawasan tanah bukit yang melebihi 250 kaki di atas paras laut dan dengan kecerunan melebihi 25 darjah," ujarnya.

Tambahnya, pembangunan di kawasan tanah bukit yang sensitif dengan lebih 250 kaki sepatutnya tidak dibenarkan, memandangkan ia mendedahkan kesan alam sekitar dan sosial yang serius bagi penduduk di kawasan berdekatan seperti hakisan tanah, tanah runtuh, ketidakstabilan tanah dan kesan negatif daripada kerja-kerja meletup batu dan sebagainya. – HARAKAHDAILY 17/7/2017