Insentif khas Najib bercanggah Akta GSA 1960

Berita
Typography

INSENTIF kedua untuk warga Felda yang diumumkan oleh Perdana Menteri baru-baru ini ialah berupa kebenaran untuk membina lebih dari satu unit rumah atas satu tapak rumah, tidak akan memberi apa-apa makna serta tidak melestarikan keharmonian keluarga peneroka," demikian menurut Lujnah Pembangunan Tanah, Peneroka Bandar Dan Hal Ehwal Orang Asal, PAS Pusat.

Ini kerana menurut Pengerusinya, Wan Rohimi Wan Daud tanpa Kerajaan menunjukkan keseriusan untuk menyemak semula konteks pendudukan dalam jangkaan hakmilik dan pemilikan dalam konteks Akta Tanah (Kawasan Petempatan Berkelompok) 1960 (Akta GSA).

Menurut Wan Rohimi lagi pada masakini, berdasarkan peruntukan-peruntukan Akta Tanah (Kawasan Petempatan Berkelompok) 1960 (“Akta GSA”) khususnya Seksyen 7 dan Seksyen 14, dan Perjanjian Peneroka dengan Felda, hanya memperuntukan bahawa seorang individu sahaja yang dibenarkan pendudukan dalam jangkaan hakmilik (occupation in expectation of title) dan selanjutnya akan diberimilikan penuh melalui dokumen Hakmilik yang dikeluarkan kemudian dari itu.

Melalui Seksyen 15 Akta yang sama, pemilikan maksimum kepada dua orang pemilik boleh diberikan sebagai “pemilik bersama” tanpa pecah bahagi, atas permohonan pemilik sedia ada untuk diberikan sebahagiannya kepada isteri, bekas isteri atau waris-waris ATAU melalui apa-apa perintah Mahkamah dibawah mana-mana Enakmen Keluarga Islam Negeri-Negeri atau Law Reform (Marriage & Divorce) 1976.

"Apatah lagi dalam keadaan Akta GSA pada masakini tidak mengiktiraf hak waris di bawah Hukum Faraid dan Perintah Pembahagian Pusaka untuk didaftarkan sebagai pemilik bersama bagi tanah-tanah yang tertakluk kepada Akta GSA," katanya kepada Harakahdaily.

Datuk Seri Najib Tun Razak  mengumumkan enam Insentif Khas untuk  peneroka Felda ketika dalam majlis Sambutan Hari Peneroka Kebangsaan 2017 pada 23 Julai 2017 yang lalu. – HARAKAHDAILY 1/8/2017

Laporan penuh menyusul dalam Harakah edisi Jumaat bilangan 2269