19
Sat, Aug
13 Artikel Baru

Sasaran 5,000 rumah mampu milik jadi realiti

Berita
Typography

SEHINGGA sekarang sebanyak 3,905 unit kediaman mampu milik dibina di enam lokasi di Kelantan bagi mencapai sasaran 5,000 unit pada penggal ke-13.

Menteri Besar, Ustaz Datuk Bentara Kanan Ahmad Yakob berkata, jumlah kediaman tersebut sebahagian besar telah dibina dan selebihnya dalam proses pembinaan dan peringkat perancangan.

"Rumah mampu milik merupakan sebahagian manifesto PAS pada pilihan raya umum ke-13 lalu untuk membina antara 2,000 hingga 5,000 rumah mampu milik.

"Hari ini kita mendapati sebahagian besar sudah dibina dan dalam pembinaan," katanya selepas melawat projek perumahan mampu milik di Kampung Badang, Pengkalan Chepa.

Hadir sama anggota Exco, Datuk Abdul Fattah Mahmood dan Ketua Pegawai Eksekutif Perbadanan Kemajuan Iktisad Negeri Kelantan, Datuk Dr Wan Zawawi Wan Ismail.

Projek itu yang melibatkan kos sebanyak RM45 juta mempunyai 334 unit kediaman dan dijangka siap pada Januari 2019.

Ustaz Ahmad juga berkata, hasrat kerajaan negeri untuk membina rumah mampu milik sehingga 5,000 unit di seluruh Kelantan penggal ini akan tercapai tidak lama lagi. – HARAKAHDAILY 2/8/2017