19
Sat, Aug
13 Artikel Baru

Tutup IPG: Bagaimana nasib pensyarahnya?

Berita
Typography

AHLI Parlimen Rantau Panjang Siti Zailah Mohd Yusoff melahirkan rasa kesal dengan keputusan kerajaan yang bertindak menukar fungsi Institut Pendidikan Guru (IPG) kepada Kolej Vokasional di seluruh negara.

Menteri Pendidikan Datuk Seri Mahdzir Khalid ketika menjawab pertanyaan beliau memaklumkan kepada Dewan Rakyat bahawa daripada 27 buah IPG di seluruh negara hanya 17 buah sahaja di kekalkan sebagai IPG.

"Kecewa dengan jawapan menteri, katanya kerajaan tidak menutup cuma menukar fungsi. Sepatutnya setiap negeri sekurang-kurangnya ada satu IPG.

"Bayangkan apabila kerajaan akan tukar IPG Kota Bharu kepada Kolej Vokasional, semua proses temuduga guru tiada lagi di Kelantan," katanya kepada Harakahdaily.

Tambahnya, bagi kursus penguruan lepasan ijazah, kursus sijil perguruan khas, kursus perguruan am dan kursus dalam cuti bagi guru sandaran tiada lagi pengambilan di IPG Kota Bharu dan pelajar terpaksa mengikuti kursus diluar negeri Kelantan.

"Sepatutnya IPG Kota Bharu seharusnya dikekalkan identiti kerana sejarahnya besar melahirkan guru sejak tahun 1952.

"Apa nasib para pensyarahnya selepas IPG ini ditukar fungsinya.

“Walaupun perjawatan dikekalkan. Sesuaikah bekas pensyarah ini menjadi tenaga pengajar Kolej vokasional atau bertugas di Pejabat Pendidikan Daerah?" soal beliau.

"Maknanya macam tutup jugalah kerana pensyarah-pensyarah akan dihalau keluar dari IPG tersebut," tegas beliau.

Justeru katanya, masalah yang berlaku ke atas IPG kerana kegagalan kerajaan BN yang kurang perancangan kemas terutama dalam bidang masa depan pendidikan dan perguruan.

"Apabila IPG yang berjaya melahirkan guru-guru cemerlang, akhirnya hendak ditutup," katanya.

Menurut jawapan menteri sebanyak empat buah IPG ditukar fungsi kepada Kolej Vokasional, empat buah lagi kepada Politeknik, sebuah IPG kepada Pusat Latihan Jurulatih, manakala sebuah lagi ditukar fungsi kepada PERMATA Pintar.

Di dalam soalan asal Siti Zailah meminta Menteri Pendidikan menyatakan jumlah IPG yang telah ditutup di seluruh negara dan penyelesaiannya serta kesan jangka pendek dan jangka panjang. – HARAKAHDAILY 2/8/2017