19
Sat, Aug
13 Artikel Baru

SU Kehormat PAFA kongsi pengalamannya

Berita
Typography

MATLAMAT dan tujuan apabila diberikan kepercayaan menguruskan pasukan bola sepak Perak (The Bos Gaurus) adalah untuk menaikkan kualiti bola sepak pada tahap yang terbaik.

Berkat doa serta harapan dari peminat bola sepak negeri Perak telah membuatkan pemilihan untuk menerajui pasukan TBG dalam meneruskan kegemilangan yang pernah dicapai satu ketika dahulu.

Perkara tersebut disuarakan oleh Setiausaha Kehormat Persatuan Bola Sepak Perak (PAFA) merangkap Pengurus Pasukan Bola Sepak Perak ketika pertemuan bersama pimpinan Pemuda PAS Perak, di Pejabat PAFA, hari ini.

Ahmad Shahrul Azhar Sofian merupakan bekas pemain bola sepak Malaysia dan ketua pasukan kebangsaan Malaysia.

Ahmad Shahrul Azhar memulakan kerjaya bola sepaknya bersama Perak pada 1996 hinggalah 2008 manakala pada 1999 hingga 2001 dia mewakili Negeri Sembilan.

Ahmad Shahrul Azhar mewakili Malaysia ke Sukan Asia Tenggara (SEA), Piala Tiger 2000, Pestabola Merdeka dan kelayakan Piala Asia.

Beliau pernah menjaringkan hattrick ketika bertemu Kemboja dalam perlawanan peringkat kumpulan Sukan SEA 1999.

Ahmad Shahrul pernah menjadi ketua pasukan kebangsaan pada tahun 2002 ketika mewakili pasukan Kebangsaan di Sukan Asia, Busan, Korea Selatan

Penampilan terakhirnya adalah pada perlawanan menentang Korea Selatan di Sukan Asia 2002.

"Bola sepak adalah menjadi satu sukan yang menyatukan pelbagai masyarakat tanpa mengira perbezaan latar belakang dan budaya.

"Kepercayaan yang telah diberikan kepada saya ini akan menjadi tanggungjawab bagi mengembalikan kegemilangan bola sepak negeri Perak.

"Alhamdulilah disiplin pemain kita terus diberikan perhatian bahkan penjagaan solat lima waktu sentiasa menjadi keutamaan agar kekuatan pemain bukan sahaja dari sudut luaran bahkan dalaman.

"Pengalaman saya ketika bersama Karl-Heinz Weigang dulu, setiap malam Jumaat kami akan berkumpul bersama solat maghrib berjemaah kemudian diteruskan dengan bacaan yaasin," jelasnya.

Pertemuan itu begitu bermakna bagi kepimpinan Pemuda PAS Perak dalam mengetahui dunia bola sepak yang sentiasa ada jatuh bangun serta ia menjadi satu tumpuan dalam kalangan anak muda.

Kunjungan tersebut diketuai oleh Ketua Pemuda PAS Perak; Ustaz Akmal Kamaruddin, Timbalan Ketua Pemuda PAS Perak; Ustaz Hafez Sabri, Penolong Setiausaha Pemuda PAS Perak; Hafiz Ahmad dan Pengarah DACS Pemuda PAS Perak; Abdul Qahar Syams. – HARAKAHDAILY 2/8/2017

AhmadS 2