19
Sat, Aug
13 Artikel Baru

Jelajah Infra Tani kenal pasti masalah pertanian

Berita
Typography

JELAJAH Infra Tani memberi ruang Kerajaan Negeri Selangor mengenal pasti masalah dan bantuan diperlukan golongan petani dan penternak termasuk pihak berkaitan dalam memajukan aktiviti diceburi.

Pengerusi Jawatankuasa Tetap Infrastruktur & Kemudahan Awam, Pemodenan Pertanian dan Industri Asas Tani negeri, Zaidy Abdul Talib berkata, program turun padang itu adalah manifestasi kepimpinan kerajaan negeri bagi mendampingi rakyat dalam memenuhi keperluan mereka.
 
“Seperti program turun padang Datuk Menteri Besar, Jelajah Infra Tani adalah program saya selaku Exco Kerajaan Negeri yang bertanggungjawab dalam pembangunan infrastruktur dan kemudahan awam serta pertanian.

“Dari awal pagi saya mengadakan lawatan ke beberapa ladang ternakan dan tanaman di mana dikenal pasti kumpulan terbabit dalam aktiviti ini adalah mereka berpotensi tetapi menghadapi kekangan dari segi modal, peralatan dan sebagainya.

“Kita turun bersama jabatan dan agensi berkaitan yang mana ia dianggap mesyuarat di lapangan serta kita putus bantuan apa yang perlu,” katanya dipetik SelangorKini.

Beliau berkata demikian kepada media selepas Majlis Perasmian Jelajah Infra Tani 2017 Dun Dusun Tua di Dataran Terang Malam, hari ini.

Mengulas lanjut, katanya, selepas program di Dun Dusun Tua, ia akan dijalankan di dua lagi program iaitu di Dun Sri Muda juga Kuang selepas ini.

“Dengan cara ini juga memberi ruang kepada saya menyampai atau melaporkan segala program dijalankan kepada rakyat untuk dilihat dan dinilai.

“Kita tidak mahu apabila di hujung penggal perkhdimatan, ia tidak dalam konteks memberikan laporan prestasi tetapi kita lebih kepada memujuk atau merayu termasuk ada pihak yang mengugut bagi mendapatkan lanjut kontrak (mandat baru),” katanya.

Jelajah Infra Tani adalah lanjutan program turun padang Zaidy selaku Exco Pertanian bagi mendekati golongan petani, penternak dan nelayan khususnya di daerah pertanian seperti Sabak Bernam, Kuala Selangor, Kuala Langat dan Hulu Selangor.

Namun, bermula tahun lalu, program dikembangkan bagi menyeragamkan kedua-dua portfolionya bagi menyantuni rakyat dengan lebih luas dan berkesan.