Lulus Akta 164, tetapi tidak selesai masalah sebenar

Berita
Typography

PAS menegaskan walaupun Rang Undang-Undang (RUU) Membaharui (Perkahwinan Dan Perceraian)(Pindaan) 2017 (Akta 164) diluluskan, namun ia tidak akan menyelesaikan masalah sebenar.

Ketua Whip Parlimen PAS Datuk Takiyuddin Hassan berkata, RUU 164 ini tidak sepatutnya dibahaskan dan diluluskan kerana banyak percanggahan yang ditimbulkan.

Antaranya, menurut beliau RUU ini sepatutnya dibentangkan oleh Menteri Dalam Negeri kerana Jabatan Pendaftaran dibawah mereka sebaliknya ianya dibentangkan oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri.

Pada 7 Ogos lalu, kerajaan menarik balik RUU 164 yang menghalang penukaran agama sepihak ketika ia berada di peringkat bacaan kedua. Keputusan itu diumumkan Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Azalina Othman Said.

"Kami meneliti RUU yang kedua ini dan mendapati kandungan ini tidak teratur dan tidak sempurna bercanggah dengan beberapa akta Persekutuan salah satunya Akta 303 di mana Undang-undang Keluarga Islam Wilayah Persekutuan tahun 2003 berkaitan seksyen 46 (2) menyatakan soal berkaitan perkahwinan Islam melalui Mahkamah Syariah," katanya di dalam sidang media di lobi parlimen malam tadi.

Sedangkan di dalam pindaan Akta 164 ini, katanya, seksyen 51 menegaskan pembubaran perkahwinan bukan Islam di mana salah seorangnya masuk Islam mesti dibuat di Mahkamah Sivil.

Dalam pada itu, PAS turut menyifatkan Akta 164 juga bercanggah dengan Perkara 121 (1)a yang menyatakan bidang kuasa perkara yang berkaitan dengan perkahwinan orang Islam iaitu penceraian harus diputuskan oleh Mahkamah Syariah.

"Apabila masuk Islam orang itu adalah muslim tetapi dengan pindaan ini seolah-olah memaksa orang Islam pergi ke mahkamah sivil untuk membubarkan perkahwinan mereka.

"Bercanggah dengan dengan jadual ke-9 di dalam item 1 yang mana penentuan perkara hukum, doktrin, syarak dan adat melayu dalam bidang kuasa negeri bercanggah dengan enakmen negeri-negeri. Iaitu ketua-ketua agama negeri, jadi pindaan ini tidak dirujuk kepada Ketua Agama Negeri," jelasnya.

PAS juga beranggapan Akta ini bercanggah dengan perkara 11 (1) berkaitan dengan kebebasan beragama iaitu orang bukan Islam masuk Islam tetapi dia dipaksa ke mahkamah sivil untuk selesaikan masalah agama sendiri sepatutnya melalui Mahkamah Syariah.

PAS juga mempersoalkan kenapa Akta ini dilaksanakan selepas enam tahun diluluskan dan daripada kajian yang dibuat undang-undang ini dibantah oleh orang bukan Islam termasuk Buddha, Kristian dan Hindu kerana akta ini banyak bercanggah dengan agama lain.

"Kerajaan luluskan di parlimen tahun 1976 berdasarkan satu laporan suruhanjaya, jawatankuasa ini syorkan supaya Akta 164 dibuat. Suruhanjaya ditubuhkan pada 1970 tetapi dibentang tahun 1975 dan digazetkan tahun 1982," soalnya.

Justeru, PAS berpandangan kerajaan sepatutnya meninstitusi satu badan berbentuk tribunal bagi menyelesaikan masalah ini secara harmoni dan damai.

"RUU ini wajar ditangguhkan dan dibincangkan antara orang Islam dan bukan Islam dan diberi pandangan. Bukan Islam pun mungkin tidak bersetuju. Kami lagi sekali meminta supaya kerajaan mempertimbangkan untuk menarik balik RUU ini," katanya.

Rang Undang-Undang (RUU) Membaharui (Perkahwinan Dan Perceraian)(Pindaan) 2017 (Akta 164) diluluskan selepas dibacakan kali ketiga di Dewan Rakyat, tengah malam tadi.

RUU yang dibentangkan Azalina Othman Said, diluluskan pada jam 12.45 tengah malam selepas dibacakan kali ketiga serta dibahaskan lebih empat jam, bermula jam 8.30 malam.

Dengan lulusnya pindaan RUU itu, hak diberikan kepada suami atau isteri yang memeluk agama Islam bagi memfailkan petisyen pembubaran perkahwinan di mahkamah sivil mengikut peruntukan Subseksyen 51(1) Akta 164. – HARAKAHDAILY 10/8/2017