19
Sat, Aug
13 Artikel Baru

Malaysia Cub Prix pilih Pasir Puteh Sentral

Berita
Typography

PETRONAS AAM Malaysia Cub Prix memilih Pasir Puteh Sentral sebagai lokasi perlumbaan Cub Prix yang dijangka berlangsung pada 8 dan 9 September depan.

Bandar Baru tersebut lengkap dengan pasar dan rumah kedai akan menjadi pusat pertumbuhan baru di Pasir Puteh.

Pada Januari lalu 500 peniaga enggan berpindah ke pasar baharu di Pasir Puteh Sentral biarpun Majlis Daerah Pasir Puteh (MDPP) mengeluarkan notis pindah bermula 15 Januari 2017.

Malah ada peniaga mengemukakan injuksi ke mahkamah bagi memohon untuk terus kekal berniaga di pasar lama. Pemimpin Parti Amanah Negara (PAN) dilihat menjuarai isu tersebut.

Pada Ramadan lepas Pasir Puteh Central menjadi tumpuan orang ramai membeli juadah berbuka puasa di bazar Ramadan di lokasi berkenaan.

Lebih 3,000 penduduk Pasir Puteh dan Besut mengunjungi bazar Ramadan di Pasir Puteh Sentral setiap hari.

Hari ini Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Perumahan, Belia dan Sukan, Datuk Abdul Fattah Mahmood meluangkan masa kira-kira 30 minit meninjau keadaan litar perlumbaan di situ.

Katanya, kunjungan tersebut merupakan lawatan terakhir bagi melakukan beberapa persiapan sebelum bermulanya perlumbaan.

Pada kunjungan itu beliau juga berbincang bersama wakil Unit Penyelaras Cub Prix, Shafry Azizan dan Abzaqfaiz Razali.

“Kita sangat gembira kerana mereka dapat mencadangkan beberapa penambahbaikan yang merupakan aspek teknikal yang tidak diluluskan sebelum ini dapat dilakukan sebaik mungkin.

“Kita berharap litar ini benar-benar menguji kemahiran pelumba dengan tiga selekoh yang dilihat mencabar kemahiran mereka,” katanya ketika ditemui. – HARAKAHDAILY 10/8/2017