25
Sat, Mar
174 New Articles

KEZALIMAN terbesar manusia adalah syirik kepada Allah. Dengannya manusia menjadi kufur dan tiada lagi balasan selayaknya buat mereka selain neraka dan kelaknatan.

Kezaliman terbesar umat Islam pula adalah ragu-ragu terhadap syariat Allah. Walaupun umat Islam mendakwa beriman kepada Allah, lalu digelar muslim, tetapi tiadanya keyakinan terhadap wahyu dan arahan-Nya adalah sebahagian syirik kepada-Nya. Ragu-ragu terhadap arahan-Nya akan mendorong kepada keyakinan terhadap syariat dan peraturan sesama manusia. Itu juga syirik yang jelas.

Walaupun kekufuran golongan kuffar adalah lebih besar di sisi Allah dan balasan terhadap mereka di akhirat adalah paling dahsyat, tetapi pembalasan di dunia adalah sebaliknya. Mereka yang kufur dijamu dengan pelbagai kesenangan hidup mengikut kehendak dan kekuatan mereka mengeksploitasi kekayaan duniawi ini. Itulah syurga mereka yang palsu. Sebagaimana mereka beriman kepada kepalsuan, mereka juga dibalas dengan kepalsuan. Itulah keadilan Ilahi.

Adapun umat Islam yang ragu-ragu dengan ugama sendiri, mereka di dunia adalah terawang-awang di antara kemuliaan dan kehinaan. Kemuliaan adalah kerana mereka tetap menjaga Islam mereka dan tidak murtad. Kehinaan adalah pembalasan Allah kerana mempermainkan Allah dan orang-orang beriman yang lain.

Walaupun mereka berusaha menunjukkan kebijaksanaan mereka dengan campur aduk antara keyakinan dan keraguan terhadap-Nya, tetapi Allah tidak akan mengizinkan. Al Quran secara nyata menyebut bahawa balasan terhadap golongan ini adalah kehinaan di dunia dan azab yang teruk di akhirat.

Maka adalah nyata bahawa balasan orang-orang kafir adalah kemewahan di syurga dunia yang fana dan azab neraka di akhirat yang kekal. Manakala umat Islam yang ragu-ragu dengan ugama sendiri (munafikin), balasan terhadap mereka adalah hina di dunia dan hina juga di akhirat.

Kefahaman daripada hukuman Allah tadi begitu menjelaskan kepada kita bahawa yakin terhadap Allah dan syariat-Nya adalah tuntutan kewajiban terbesar umat Islam hari ini. Ini adalah kerana dunia Islam hari ini dilanda penyakit keraguan terhadap ugama sendiri yang agak kronik. Dunia Islam hari ini hidup tanpa pedoman ugama secara nyata. Fahaman dan undang-undang kehidupan telah dicampur-adukkan di antara syariat ugama dan undang-undang manusia yang bertentangan dengan wahyu dan arahan Allah.

Hukuman Allah ke atas umat Islam hari ini adalah nyata. Negara-negara Islam mundur dan terkebelakang. Umat Islam pula diperlekeh. Untuk bangkit semula, mereka dilanda ketakutan dan rasa rendah diri. Akhirnya mereka menjadi pak turut kepada tamadun barat. Apabila disuruh atau dicucuk supaya berperang sesama sendiri, mereka terus sanggup menumpahkan darah sesama sendiri walaupun jutaan nyawa umat melayang. Itulah kehinaan yang nyata.

Penyakit yang melanda negara kita Malaysia adalah sama. Ia sebuah negara yang masih ragu-ragu terhadap Islam. Pembangunan dan penyelesaian kepada masalah negara dibangunkan dengan undang-undang yang diimport daripada barat. Sistem dan jentera negara dipenuhi warna-warni sekularisme yang menolak ugama ke sudut paling tepi. Jika ada suara dan sentuhan Islami di mana-mana penjuru, maka ia adalah kerana wujudnya ruang-ruang kosong yang tidak menjadi buruan, rebutan dan keperluan kepada sekularisme untuk bertapak dan berkuasa. Maka di situ Islam bolehlah bernafas dan berperanan.

Penyakit paling besar negara yang paling utama ialah akidah yang goncang, bukan ekonomi yang goncang dan bukan juga para pemimpinnya yang angkuh. Ekonomi yang goncang akibat pemimpin yang angkuh hari ini adalah kesan dan manifestasi penyakit menolak Islam. Rasuah, boros, membazir, salah guna kuasa, monopoli, dadah dan segala penyakit negara adalah kesan ketidakyakinan terhadap Islam dan syariat-Nya.

Semua itu perlu diperangi. Semua itu merosakkan negara. Tetapi memeranginya dengan senjata sekularisme juga adalah berputar pada putaran yang sama. Ia kekal sebagai penyelesaian yang palsu. Balasan Allah adalah nyata. Umat Islam tanpa Islam adalah kehinaan di dunia dan di akhirat juga. Sunnah dan ketetapan Allah tidak akan berubah sedikit pun.

Penawar untuk kita adalah meyakinkan diri sendiri untuk kembali kepada Islam dengan penyelesaiannya yang padu dan menyeluruh. Ia jihad besar yang begitu nyata. Justeru semua pihak mestilah berganding bahu menyeru umat agar kembali kepada Islam yang sempurna dan lestari.

Bagaimana caranya? Ia adalah persoalan hikmat dan kebijaksanaan. Al Quran dan sunnah nabi adalah rujukan untuk menerapkan nilai-nilai hikmat di dalam proses mengubati umat ini. Hikmat barat mestilah diukur dan ditapis sehingga tidak melanggari prinsip-prinsip Islam.

Antara kecacatan kita yang nyata ialah kegagalan di dalam sistem pengajaran dan pendidikan kita untuk menerapkan nilai 'dengar dan patuh' kepada ketetapan Allah. 'Sami'na Wa Ata'na' adalah binaan ugama yang menjadi tempat berlindung dan bentengan yang akan menyelamatkan individu dan umat Islam di saat berdepan serangan bertali arus daripada musuh.

Selalu berbahas dan asyik mendahulukan pencarian hikmat daripada hukum-hukum agama telah merosakkan akal umat dengan kekaguman terhadap akal sesama manusia. Akhirnya, kita hanya tahu merangka tahap-tahap, tadrijiah, awlawiyat dan sebagainya di dalam perlaksanaan hukum Islam tetapi gagal pula menyusun akal kita dan keegoan sendiri di dalam berhadapan nas-nas Islami yang maha suci.

Adakah para sahabat nabi ridhwanuLlahi alaihim asyik bertanyakan hikmat hukum agama? Tidak. Mereka begitu bersungguh untuk melaksanakan hukum ugama ke atas diri dan masyarakat. Mereka begitu obses dengan kalimah 'Sami'na Wa Ata'na' yang merupakan manifestasi penyerahan diri sepenuhnya kepada Allah dan syariat-Nya.

Ini bukan bermaksud menidakkan kecantikan usaha kita di dalam memperkasa syariah Islam dengan mengorek hikmat dan kebijakan hukum ugama, tetapi lihatlah betapa para sahabat nabi sudah begitu terbiasa menerima kebenaran atau al haq dengan melihat hikmat sesuatu hukum itu hanya selepas sesuatu hukum Allah itu dilaksanakan terlebih dahulu. Hasilnya, sifat 'kami dengar dan kami patuh' sudah begitu sebati di dalam kehidupan mereka.

Walau apapun kekurangan kita hari ini, setidak-tidaknya kita sudah boleh bergembira dengan tahap kesungguhan umat Islam untuk kembali kepada agama. Sudah banyak kegagalan, kepedihan dan kesakitan yang Allah tunjukkan untuk menjadi pengajaran dan iktibar yang berguna kepada kita untuk kembali kepada ugama kita sendiri.

Jadi usahlah kita terlalu terdorong untuk berbahas dan asyik mempertikaikan isu-isu agama sehingga boleh memecahkan kesatuan yang semakin diraikan dan diimpikan oleh setiap kita. Kesatuan dan persaudaraan umat masih rapuh. Tugas kita adalah memantaunya dan sentiasa meninjau di setiap penjuru, jangan-jangan musuh datang menyerang dalam kealpaan diri kita sendiri.

Musuh besar negara dan umat adalah keraguan terhadap agama. Keraguan meninggalkan sifat keengganan untuk dengar dan patuh kepada ajaran Allah. Keengganan mewariskan sifat takbur di dalam diri. Takbur dan angkuhlah yang akhirnya menghancurkan iblis walau sudah menghuni di dalam syurga! Selamat berjuang di jalan Allah.

* Artikel adalah untuk kolum 'Terang Rembulan' akhbar Harakah.

LAJNAH Perpaduan Nasional dan Hubungan NGO Dewan Pemuda PAS Malaysia menyelar kenyataan tidak berasas yang dikemukakan peguam, Siti Kassim dan Hindraf berhubung kehadiran pendakwah terkemuka, Dr Zakir Naik ke negara ini yang diberi ruang oleh kerajaan Malaysia.

Pihak kami amat mengalu-alukan tindakan kerajaan memberikan ruang untuk Dr Zakir seorang pendakwah terkenal untuk berada di negara ini bagi meneruskan kerja dakwah beliau.

Kami meminta kepada semua pihak khasnya Hindraf dan Siti Kasim supaya tidak menambahkan isu yang boleh mencetus ketegangan kaum dan mengambil kesempatan di atas isu ini untuk tujuan politik sempit.

Seluruh rakyat memahami bahawa Malaysia merupakan sebagai sebuah negara Islam dan berdasarkan perlembagaan persekutuan yang menyatakan Islam sebagai agama rasmi maka tidak salah membenarkan pendakwah seperti Dr Zakir meneruskan kerja dakwah di negara ini.

Apa yang lebih baik adalah semua pihak duduk semeja berdialog dan bertukar fikiran melerai kekeliruan serta mencapai kata sepakat.

Malah pada kami sepatutnya pihak yang menentang kehadiran tokoh pendakwah itu  mengadakan pertemuan dengan Dr Zakir bagi mengadakan dialog dengan pendakwah terkenal itu.

Dialog perbandingan agama bukanlah perkara baharu dalam isu antara agama ini bahkan sudah acapkali diadakan seluruh dunia. Dialog yang harmoni adalah seruan para cendekiawan dunia bagi memastikan keamanan dunia dan mengelakkan ketegangan peradaban. Dr Zakir Naik didalam dialognya mengambil pendekatan ini dengan baik sekali.

Kami amat mengharapkan agar isu sebegini tidak dijadikan modal politik mahupun sentimen perkauman sempit oleh mereka-mereka yang bergerak kononnya atas nama hak asasi manusia yang pada akhirnya akan menzahirkan agenda yang tersirat iaitu menjadikan Islam sebagai sasaran untuk diburukkan imejnya.

Ayuh bertindak matanglah dalam segenap perkara agar keharmonian negara dapat dijaga dengan baik. Ayuh bersama melestarikan budaya berdialog sepertimana agenda yang dibawa PAS iaitu Budaya Politik Matang dan Sejahtera (BPMS). Lajnah Perpaduan Nasional dan Hubungan NGO DPPM bersedia menjadi penganjur sesi dialog antara Dr Zakir Naik dan Hindraf sekiranya semua pihak bersetuju duduk semeja.

USTAZ MOHAMAD IBRAHIM
Pengerusi Lajnah Perpaduan Nasional dan Hubungan NGO Dewan Pemuda PAS Malaysia.

ISU halangan ke atas penganjuran majlis ilmu bersama Dr. Zakir Naik kecoh selepas pihak yang tidak berpuas hati mengambil tindakan undang-undang ke atas kerajaan Malaysia.

Peguam Siti Kasim dan satu Pertubuhan Hindu baru-baru ini mengeluarkan saman terhadap kerajaan Malaysia kerana dikatakan melindungi pendakwah Dr. Zakir Naik.

Kami daripada Dewan Muslimat PAS Malaysia (DMPM) kesal terhadap apa yang berlaku. Hal ini tidak sepatutnya timbul memandangkan kita mengamalkan budaya hormat-menghormati dan bersikap toleransi atas setiap perkara.

Mana mungkin majlis ilmu dihalang oleh orang Islam sendiri sedangkan masih banyak program lain yang lebih berunsur negatif dan tidak sepatutnya diadakan di Malaysia selaku negara Islam yang perlu dihalang.

Solusi terbaik untuk mengatasi hal ini bukanlah melalui emosi yang membuta tuli. Pendekatan berhemah dengan bersemuka adalah lebih baik dan harmoni.

Islam mengajar hambaNya menggunakan pendekatan terbaik dalam menyelesaikan masalah.

Allah berfirman yang bermaksud: "Serulah (manusia) kepada jalan Tuhan-mu dengan hikmah dan pelajaran yang baik dan bantahlah mereka dengan cara yang baik. Sesungguhnya Tuhanmu Dialah yang lebih mengetahui tentang siapa yang tersesat dari jalan-Nya dan Dialah yang lebih mengetahui orang-orang yang mendapat petunjuk" [An-Nahl 16:125]

Setakat ini, kita tidak mendengar sebarang kekecohan semasa program-program bersama Dr Zakir. Bahkan program-program bersama beliau sentiasa mendapat sambutan yang meriah dan memuaskan hati peserta. Oleh itu, sesiapa pun tidak perlu merasa tidak senang selagi program bersama Dr Zakir dapat dilaksanakan dengan baik.

Semoga Allah memberi hidayah kepada kita semua dan terus berpihak kepada kebenaran. Sesungguhnya balasan Allah itu cukup pedih khususnya di akhirat bagi mereka yang menghalang usaha-usaha dakwah di jalan Allah. Marilah kita bersama-sama hidup dalam keadaan hormat- menghormati antara satu sama lain.

USTAZAH NURIDAH MOHD SALLEH
Ketua Dewan Muslimat PAS Malaysia
8 Jamadil Akhir 1438 / 7 Mac 2017 - HARAKAHDAILY 7/3/2017

PARLIMEN baru sahaja memutuskan Rang Undang-Undang Jenayah Seksual Kanak-Kanak akan dibentangkan di Dewan Rakyat. Rang Undang-undang tersebut merupakan alternatif bagi menangani penderaan seksual yang melibatkan kanak-kanak.

Kami dari Dewan Muslimat PAS Malaysia (DMPM) menyokong penuh Rang Undang-undang ini yang bakal membawa hukuman lebih berat kepada penjenayah. Ia juga harus disokong oleh semua Ahli Parlimen supaya tindakan lebih tegas dikenakan terhadap mereka yang didapati bersalah.

Tahun lepas, akta ini dipinda dengan hukuman denda maksimum RM50,000 dan penjara sehingga 20 tahun berbanding hukuman denda maksimum RM10,000 dan penjara sehingga 10 tahun sebelum pindaan dibuat.

Menurut statistik Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), sebanyak 5,779 kes dicatatkan melibatkan penderaan seksual kanak-kanak bagi tempoh 2010 hingga 2015, dengan purata 963 kes setahun.

Manakala berdasarkan statistik Polis Diraja Malaysia (PDRM) pula, dicatatkan 2,759 kes rogol, 412 kes sumbang mahram, 1,423 kes mencabul kehormatan dan 422 kes luar tabii, yang melibatkan mangsa di bawah umur 18 tahun dilaporkan sepanjang tempoh 2015 dan 2016.

Angka statistik ini semakin hari semakin meningkat dan sangat membimbangkan semua pihak. Kami memandang serius isu ini dan peruntukan akta tersebut wajar dilaksanakan segera bagi menangani kes penganiayaan kanak-kanak yang semakin parah.

Besar harapan kami agar akta ini mendapat sokongan penuh dari seluruh Ahli Parlimen demi masa depan anak-anak kita semua. Semoga ianya mampu mencorak Malaysia ke arah negara harmoni dan sejahtera.

USTAZAH NURIDAH MOHD SALLEH
Ketua Dewan Muslimat PAS Malaysia
21 Jamadil Akhir 1438 / 20 Mac 2017 - HARAKAHDAILY 20/3/2017

KEDEGILAN Pengerusi DAP Sarawak, Chong Chieng Jen tetap berkeras dengan hujah-hujah tuduhan prejudis dan penuh sentimen jumudnya, menunjukkan radikalisme pemikiran yang wujud dalam parti cauvinis itu.

Beliau bukan sahaja mempolitikkan urusan yang merupakan amalan rutin pentadbiran dalam konteks Persekutuan Malaysia, tetapi telah mengheret perkara itu kepada nyalaan sumbu api bernada perkauman dan kenegerian.

Bermakna, beliaulah yang sebenarnya menggemburkan retorik dan propaganda tipikal melalui provokasi murahan yang dicetuskannya, serta cuba menggoncang keharmonian sedia ada dan mencipta diskriminasi.

Chieng Jen dihantui fobia dan disorientasi psikiatri hingga gagal mengenal, memahami dan membezakan perkara pokok dibangkitkannya dengan norma-norma kepelbagaian yang telah mewarnai kemajmukan sosial Malaysia.

Tidak ada yang berubah dan tergugat cara hidup, falsafah dan budaya sebagaimana didakwanya. Beliau seharusnya melihat fakta dan keperluan dalam perkhidmatan melibatkan pengambilan guru-guru berkenaan.

Seperti ditegaskan, kami juga menyokong supaya dipertimbangkan keutamaan kepada kalangan anak tempatan Sarawak yang berkelayakan untuk memenuhi kekurangan guru Pendidikan Islam di negeri ini.

Tetapi bukan menjadikannya sebagai isu hingga merosakkan perpaduan yang telah sedia terjalin. Sikap melampau Chieng Jen telah terbawa-bawa hingga menyentuh dan mempersenda sensitiviti agama.

Masalah ditimbulkannya mudah sahaja, seperti telah kami nyatakan ia hanya melibatkan pengurusan dan pentadbiran. Tetapi mengapa beliau membangkitkan skeptikal yang melulu dan ekstrem?

Kami menasihatkan beliau memeriksa fakta, membuat kajian atau bacaan khusus mengenai perkara itu. Tidak perlu memanjangkan isu biar apapun motifnya. Jangan hingga dilihat ego, sombong dan sibuk mencampuri urusan pihak lain.

"Untukmu Sarawak"
"Bertekad Melebar Muafakat"
"Inilah Penyelesaian Kita"

SYAMSUL BAHRI MOHAMAD
Naib Dewan Pemuda PAS Sarawak
19 Mac 2017 | 20 Jamadil Akhir 1438 - HARAKAHDAILY 19/3/2017