Fomca mahu operasi cegah kereta klon dipertingkat

| .

KUALA LUMPUR: Gabungan Persatuan-persatuan Pengguna (Fomca) menyambut baik tindakan tegas Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) merampas dan menyita 153 kenderaan klon bernilai lebih RM13 juta dalam operasi sejak lima bulan lepas.

Presidennya, Datuk Dr N. Marimuthu berkata, Fomca juga memandang serius kewujudan kereta klon di atas jalan raya kerana ia boleh mengakibatkan banyak risiko.

"Fomca berharap SPRM dan JPJ akan memperluaskan operasi mereka demi kepentingan rakyat khususnya pengguna jalan raya.

"Pihak berkuasa perlu mempertingkatkan pemeriksaan dan operasi demi keselamatan orang ramai.

"Kita tidak mahu pihak yang tidak bersalah menanggung beban dan kesan akibat perbuatan pihak yang membeli kenderaan murah tanpa dokumen yang sah," kata beliau dalam kenyataan hari ini.

Fomca juga mahu SPRM dan JPJ mengenakan tindakan tegas ke atas mereka yang menggunakan kenderaan klon.

"Selain menyelamatkan pendapatan kerajaan dalam bentuk cukai, tindakan bersepadu JPJ dan SPRM juga mampu mengelakkan kerugian di pihak pemilik kenderaan dan pengguna jalan raya," katanya lagi.

Beliau yang juga ahli Panel Perundingan dan Pencegahan Rasuah (PPPR) berharap SPRM akan mengemukakan syor bagi memperbaiki kelemahan-kelemahan yang wujud dalam sistem semasa.

"JPJ harus meningkatkan penguatkusaan undang-undang kerana penggunaan kereta klon bahaya kerana tidak dilindungi mana-mana insurans kerana dokumentasi kenderaan adalah palsu," katanya.

Semalam, Pengarah Bahagian Perisikan SPRM Datuk Azam Baki berkata, sindiket kereta klon ini menggunakan modus operandi dengan menjual kenderaan-kenderaan ini di internet secara terbuka. - HARAKAHDAILY 22/4/2015

Share on Myspace