Kenaikan tol sekadar 'gimik politik'? - Dr Zuhdi

Harakahdaily | .


KUALA LUMPUR: Ketua Pengarah Pusat Penyelidikan PAS Pusat, Dr Zuhdi Marzuki menyifatkan berita kenaikan kadar tol ini sebagai satu 'gimik politik' yang akan berlaku 'pusingan U' beberapa hari lagi.

Dalam keadaan, Perdana Menteri, Dato' Seri Najib Razak berada dalam situasi tidak popular, tidak mungkin beliau mengizinkan satu tindakan yang akan menjunamkan popularitinya, malah begitu berisiko terhadap kedudukannya.

"Najib akan berhadapan dengan dua peristiwa besar, iaitu pembentangan Belanjawan 2016 di Parlimen dan Perhimpunan Agung Umno. Dengan tindakan menaikkan kadar tol secara drastik, beliau menempah risiko yang tinggi sekiranya pembentangan belanjawannya ditolak oleh parlimen," kata Dr Zuhdi yang juga Ahli Jawatankuasa PAS Pusat kepada Harakah pada 13 Oktober lalu.

Demikian juga kata beliau, sekiranya Najib memberi laluan supaya langkah tidak popular dengan menaikkan kadar tol ini diteruskan, beliau berkemungkinan mendapat undi tidak percaya dari perwakilan-perwakilan Umno.

Katanya lagi, kedua-dua peristiwa besar yang akan dihadapi oleh Dato Seri Najib, memungkinkan 'pusingan U' akan berlaku.

"Saya berpandangan, ketika seseorang pemimpin sedang menghadapi serangan dari segenap penjuru, langkah yang paling ampuh ialah mengembalikan populariti di kalangan rakyat.

"Tindakan melakukan langkah sebaliknya akan mempercepatkan lagi kejatuhan seseorang pemimpin, justeru saya menjangkakan isu ini hanya 'gimik politik'," katanya lagi. HARAKAHDAILY 13/10/2015 

 

Share on Myspace