Kerajaan digesa prihatin isu kebajikan pekerja

HARAKAHDAILY | .

KUALA LUMPUR: Dewan Pemuda PAS Kedah mengingatkan kepada semua golongan pekerja untuk mengiktikadkan pekerjaan sebagai sumer pendapatan sekali gus sumber ibadah dan pahala bagi umat Islam sempena sambutan Hari Pekerja, semalam.

"Korupsi, pembaziran, pencemaran, ruang kerja yang tidak sihat dan selamat terjadi akibat krisis keikhlasan dan iktikad betapa Allah melihat dan memandang usaha kerja kita sama ada bertepatan dengan syariat atau tidak," ujar ketuanya, Mohd Azam Abd Samat.

Katanya, pekerja terutama kaum Muslim disaran agar merenung kembali sejauh mana ruang kerja mereka dijadikan hubung kait dengan yang Maha Pencipta.

Menurutnya lagi, segala petaka dan kerosakan sosial dalam pekerjaan adalah berpunca daripa konsep asas ketuhanan dan kehambaan.

"Dewan Pemuda PAS Kedah juga ingin menyeru kerajaan agar meletak keutamaan membela kebajikan dan menangani kos sara hidup pekerja secara lebih serius," katanya dalam satu kenyataan.

Beliau berkata, statistik jenayah, gejala sosial dan kerisakan akhlak adalah berpunca antaranya melalui himpitan ekonomi dan kehidupan.

"Kami mencadangkan agar kerajaan memgadakan skim bantuan modal untuk para siswazah dengan syarat tertentu untuk mereka menceburi bidang perniagaan," ujarnya.

Hal ini, ujar beliau disebabkan ramai siswazah yang dianggap menganggur sebenarnya telah terlibat dengan perniagaan kecil yang rata-rata masih mengalami kelemahan daripada aspek modal.

"Kami juga mencadangkan agar kerajaan menyediakan siswazah terutama negeri Kedah untuk menguasai bidang pertanian dengan serius," katanya yang juga Adun Sungai Limau.

Tambahnya, projek pertanian berkelompok di tanah milik kerajaan yang tidak dimajukan boleh diperbahas dengan terperinci.

Di samping itu, kata beliau peluang pekerjaan awam mahupun swasta akan berkembang jika umur persaraan dikembalikan kepada usia 55 hingga 56 tahun sahaja memandangkan takungan kerja menjadi kecil kerana produk institut latihan, IPTA, IPTS yang terlalu meningkat.

Tambahnya, sedangkan ruang pekerjaan masih dikuasai oleh pekerja senior yang walaupun berpengalaman tetapi terpaksa dibayar dengan gaji yang tinggi serta produktiviti yang mungkin tidak seperti usia muda.

"Dewan Pemuda PAS Kedah mengucapkan Selamat Hari Pekerja dan pekerja efisyen adalah modal umaah yang berguna untuk masa depan negara, bangsa dan agama," katanya lagi. - HARAKAHDAILY 2/5/2016

Share on Myspace