Kerjasama PAS-Umno sengaja dipolemik

Berita
Typography

PAS memperkenalkan konsep ‘taawun’ dengan semua pihak termasuk kerajaan untuk bekerjasama dalam perkara yang membawa kebaikan kepada rakyat.

Presiden PAS, Datuk Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang bagimanapun berkata, kerjasama PAS-Umno sengaja dipolemik pihak tertentu.

“Kita menjalin kerjasama dalam isu Rohingya, isu Palestin. Isu yang berkait dengan rakyat.

“Biarpun ada isu bersamaan tetapi masih banyak ruang yang berbeza antara kita dengan kerajaan Pusat. Ini perlu dilihat dan perlu diselesaikan.

“Kita perlu melihat bagaimana mereka sanggup melakukan perubahan. PAS tidak gopoh dalam perkara ini. Kita mengambil sikap yang tidak putus dengan semua pihak termasuk dengan kerajaan,” ujarnya di Rusila, semalam.

Beliau juga berkata, kaji selidik yang dilakukan banyak pihak menunjukkan PAS mendapat sokongan positif dalam kalangan rakyat menjelang Pilihan Raya Umum (PRU) ke-14 tidak lama lagi.

Katanya, kaji selidik dibuat itu menunjukkan PAS maju setapak lagi dengan sokongan rakyat.

“Insya’Allah kita akan tingkatkan lagi sehingga pilihan raya. Saya menegaskan PAS akan bertanding sendirian pada pilihan raya tersebut.

“Pendekatan Budaya Politik Matang Sejahtera (BPMS) menyebabkan PAS mengambil sikap tidak putus hubungan termasuk dengan kerajaan,” katanya.

Menurutnya, keutamaan PAS memenangi pilihan raya bagi membolehkan orang Islam memimpin negara ini.

Keduanya, kata beliau untuk melaksanakan agenda Islam secara berperingkat. – HARAKAHDAILY 16/12/2017