Bashah berbohong isu pembalakan HSBE

Berita
Typography
AKHBAR 14 Disember 2017 menyiarkan kenyataan Menteri Besar Kedah, Dato' Seri Ahmad Bashah Md Hanipah bahawa kelulusan pembalakan dan membangunkan ladang hutan di Hutan Simpan Bukit Enggang (HSBE) adalah keputusan Menteri Besar terdahulu. Beliau menyebutkan nama Almarhum Tan Sri Ustaz Azizan Abdul Razak selain Dato' Seri Mukhriz Mahathir. 
 
Saya ingin mengingatkan pemimpin Umno Kedah itu bahawa tiada sebarang kelulusan kawasan pembalakan di Hutan Simpan Bukit Enggang dibuat oleh Almarhum Tan Sri Ustaz Azizan sewaktu menjadi Menteri Besar Negeri Kedah. 
 
Pemeriksaan kami dengan sumber-sumber di Jabatan Perhutanan Negeri Kedah mendapati kelulusan membalak keseluruhannya seluas 1,000 hektar, dan pembangunan ladang hutan ganti dengan tanaman getah TLC dan Albizia itu dibuat selepas PRU-13 oleh kerajaan pimpinan Umno-BN. 
 
Laporan perkembangan kerja pembangunan ladang itu juga menunjukkan projek itu diberikan kepada syarikat Golden Trees Supreme Sdn Bhd pada 17 Disember 2015, sewaktu Kedah dipimpin oleh Mukhriz selaku Pengerusi Perhubungan Umno Kedah dan sebagai Menteri Besar. 
 
Penggondolan Bukit Enggang dimulakan oleh Menteri Besar Kedah Incorporated (MBI) pada bulan Mac tahun ini, ketika Dato' Seri Ahmad Bashah sedang menjawat jawatan Menteri Besar dan juga Pengerusi MBI, yang diberikan kawasan pembalakan di Hutan Simpan Bukit Enggang dengan kadar premium hanya RM1,000 sehektar. 
 
Pemeriksaan kami mendapati hutan asli seluas 1,000 hektar telah ditebang habis, dan pokok spesis Albizia (petai belalang)  sudah mula ditanam. Pegangan MBI dalam projek ini pula hanyalah 20 peratus berbanding pihak swasta sebanyak 80 peratus. Ini pun satu kerugian besar kerajaan dan rakyat Kedah. 
 
Pihak Menteri Besar Kedah dan MBI jangan berpura-pura tidak tahu dan lepas tangan begitu sahaja dalam kes besar seperti ini, sebaliknya melepaskan beban kesan negatif projek ini kepada pihak lain semata-mata.  
 
Kedah bukan sahaja kehilangan hutan asli di Bukit Enggang, tetapi turut kehilangan pegangan majoriti dalam projek tersebut selama 30 tahun,  yang boleh disambung lagi 30 tahun.  Kawasan ini akan dibalak lagi dalam tempoh 5 tahun (Albizia) dan 15 tahun (TLC). 
 
Kenapa MBI hanya memegang share 20 peratus dalam projek seumpama ini juga patut dipersoalkan. Dalam ladang-ladang Felcra yang dibangunkan atas tanah kerajaan, pihak kerajaan negeri diberi pegangan 40 peratus, satu kadar yang lebih munasabah akibat negeri kehilangan hutan. 
 
Pihak kami tidak hanya menuding jari kepada MBI sebagai pihak yang mengaut untung segera daripada pembalakan 1,000 hektar, dan MBI juga membawa kerosakan alam sekitar yang menjejaskan orang ramai. 
 
Pihak kerajaan negeri pimpinan Ahmad Bashah juga patut bertanggungjawab apabila melepaskan hutan bermutu tinggi itu pada kadar premium RM1,000 sahaja. Kenapa tidak dibuat tander terbuka untuk kayu-kayu balak tersebut seperti dilaksanakan di Gunung Inas yang diluluskan sebagai ladang hutan ganti pada 2007 oleh kerajaan negeri pada waktu itu? 
 
Pada 2008, selepas PRU12,  kerajaan dibawah pimpinan Ustaz Azizan mengarahkan kayu-kayu balak sebagai sumber hasil kerajaan milik negeri ditander secara terbuka, dan kerajaan mendapat pendapatan berlipat kali ganda (melebihi RM54 juta) berbanding anggaran pihak pemaju (RM12 juta sahaja).
 
Kerajaan Umno-BN harus bertanggungjawab terhadap kehilangan hasil negeri antara RM15-16 juta dengan pemberian kawasan balak tanpa tander kepada MBI. Pandangan dan bantahan PAS Kedah berkaitan penggondolan ini telahpun kami kemukakan dalam Memorandum kepada Menteri Besar pada 27 Noverber lalu.
 
Tidak ada parti lain yang memerintah Kedah dalam tempoh 5 tahun terakhir ini selain Umno-BN walaupun berlaku penggulingan Menteri Besar oleh para pemimpin Umno sendiri. Mana-mana pemimpin dari parti yang sama, malah Exco-exco kerajaan juga masih orang yang sama, tidak wajar melepaskan beban kepada pemimpin yang digulingkan begitu sahaja demi mengelak tanggungjawab dan melepaskan diri. 
 
Konsep akautabiliti sebuah kerajaan negeri harus dipikul oleh pihak yang menyambung tugas pemimpin digulingkan dengan melaksanakan amanah dengan lebih baik untuk rakyat dan negeri. Jika keadaan tidak bertambah baik, malah saling mencuci tangan antara satu sama lain,  maka penggulingan MB itu tidak membawa sebarang makna. Semuanya sama sahaja. 
 
MUHAMMAD SANUSI MD NOR
Timbalan Pesuruhjaya PAS Kedah - HARAKAHDAILY 19/12/2017