25
Sat, Mar
174 New Articles

CAP gesa dunia digital lebih baik 2017

Surat Pembaca
Typography

PERSATUAN Pengguna Pulau Pinang (CAP) menggesa #Dunia Digital yang Lebih Baik dalam memastikan keselamatan pengguna Internet sempena dengan tema Hari Pengguna Sedunia sepertimana yang dicadangkan oleh Consumers International, “Hak Pengguna dalam Zaman Digital”.
 
Dalam dunia digital hari ini, semuanya di hujung jari. Bagaimanapun, sebagai pengguna adakah kita pasti keselamatan “kesejahteraan” kita dalam dunia digital? Sejak beberapa tahun lepas, terdapat banyak kes daripada penipuan dalam talian, pencurian data hinggalah kepada menjadi hab bagi aktiviti tidak bermoral walaupun usaha yang berterusan daripada kerajaan dan badan lain untuk memastikan keselamatan siber sepenuhnya.
 
Sebagai tambahan kepada undang-undang sedia ada seperti Akta Perlindungan Data Peribadi 2010 (PDPA), Akta Komunikasi dan Multimedia 1998, antara lain, CAP menggesa kerajaan dan badan berkaitan untuk memastikan peraturan adalah yang terkini untuk keselamatan pengguna dan maklumat mereka dalam talian dalam usaha untuk sentiasa bersedia dengan perkembangan evolusi teknologi dan komunikasi. Peraturannya mestilah lengkap; meliputi pelbagai jenis jenayah siber tetapi paling penting adalah untuk melindungi hak dan keselamatan pengguna teknologi digital.
 
Di samping itu, pengguna juga digalakkan untuk mengetahui undang-undang melibatkan dunia siber dan mengetahui hak mereka. Contohnya, pengguna mempunyai hak untuk menarik balik kebenaran kepada data peribadi dan jika pengguna data tidak mematuhinya, ia boleh dikenakan denda sehingga RM100,000 atau maksium satu tahun penjara, atau kedua-duanya sekali di bawah PDPA. Di samping itu, pengguna perlu peka dan memberikan perhatian yang lebih teliti terutama sekali dalam memberikan nama, alamat, kad pengenalan/nombor paspot, alamat emel, nombor telefon serta butiran perbankan.
 
CAP percaya pendidikan sepenting pelaksanaan undang-undang siber terutama sekali kepada generasi muda. Kesedaran dan pendidikan mengenai keselamatan dan jenayah siber perlu dimasukkan ke dalam program dan pendidikan di sekolah untuk mendidik kanak-kanak mengenai dunia digital. Generasi muda hari ini mestilah menyedari bahawa maklumat yang mereka berikan dalam talian dan bagaimana ia akan digunakan oleh syarikat dan individu.
 
Ibu bapa juga perlu memainkan peranan mereka dalam mewujudkan dunia digital yang lebih selamat untuk anak-anak mereka. Merujuk kepada kes mangsa seksual baru-baru ini yang menghendap dalam laman sesawang media sosial dan aplikasinya, ibu bapa perlu mendidik dan memberikan panduan kepada anak-anak mereka dalam menggunakan Internet dengan secara yang lebih bijak dan selamat. Hari ini, terdapat banyak perisian yang boleh dibeli dan sedia untuk digunakan oleh ibu bapa untuk memantau aktiviti anak-anak mereka dalam talian. Di samping itu, peraturan yang lebih ketat perlu juga dilaksanakan dalam mengawal penyalahgunaan Internet.
 
Amat penting sekali bagi pengguna hari ini untuk memahami bahawa masih terdapat kekurangan dan bahaya apabila menggunakan Internet terutama sekali melibatkan maklumat mengenai diri kita sendiri. Oleh sebab itu, adalah menjadi tanggungjawab kita sebagai pengguna digital untuk memastikan keselamatan kita dan menjadikan  #BetterDigitalWorld (Dunia Digital yang Lebih Baik).     

Penulis ialah Presiden Persatuan Pengguna Pulau Pinang.