Kerajaan sedia lantik wakil bukan Islam

Berita
Typography

KUALA TERENGGANU: Kerajaan Negeri sedia mempertimbang melantik wakil dalam kalangan bukan Islam dari kaum Cina dan India bagi mewakili masyarakat minoriti di negeri ini.

Menteri Besar, Dr Ahmad Samsuri Mokhtar berkata, apabila tiba masa yang sesuai kerajaan akan umumkan perlantikan itu.

Menurutnya, segala perancangan ke arah proses pelantikan pegawai-pegawai khas berkenaan dalam tindakan kerajaan negeri.

"Perkara (pelantikan) itu sedang dalam pertimbangan dan memang ada pegawai-pegawai yang dilantik. Kita sedang menimbang untuk wakil kaum Tionghua dan wakil kaum India.

"Sebenarnya, perlantikan untuk pegawai-pegawai (khas) bangsa Melayu dan wanita juga dalam proses. Jadi bila sampai waktunya kita (kerajaan) akan umumkan," ujarnya kepada wakil media.

Beliau berkata demikian selepas selesai Majlis Ramah Mesra Hari Raya Aidilfitri bersama kaum bukan Islam dari warga Tionghua (Cina) dan India, di Kampung Cina, di sini kelmarin.

Dr Samsuri turut menegaskan bahawa kepentingan kaum lain khususnya di Terengganu adalah sama penting antara Melayu, Cina dan India.

Justeru jelasnya masyarakat bukan Islam juga perlu diwakili dari kalangan kaum mereka sendiri.

"Ada (wakil) sebab mereka juga adalah komponen yang penting dalam negeri kita dan tentulah mereka perlu diwakili dari kalangan mereka.

"Ada yang bertanggungjawab secara langsung dalam perkara ini iaitu kaum India dan kaum Tionghua," jelasnya.

Menurut beliau lagi, wakil rakyat PAS di peringkat Dun dan Parlimen sentiasa mengambil cakna menyelesaikan masalah rakyat.

"Wakil rakyat kita (PAS) di Dun Bandar, Ahmad Shah Mohamed sentiasa berhubung dengan mereka. Ahli Parlimen Kuala Terengganu, Ahmad Amzad Hashim juga ada berhubung dengan mereka.

"Kita sangat prihatin dan sangat mengambil perhatian serta perjalanan untuk selesaikan masalah rakyat, dan dari hari ke hari sentiasa ada (aduan) masalah," jelasnya.

Katanya, antara permasalahan yang sentiasa diterima aduan adalah mengenai perniagaan, tapak perniagaan, pasar pagi Kampung Tiong, masalah longkang tersumbat dan kebersihan. -HARAKAHDAILY 19/7/2018