Timbang hantar nota bantahan ke Vietnam

Berita
Typography
KUALA TERENGGANU: Negara pada tahun lalu mengalami kerugian sekitar RM6 bilion apabila hasil tangkapan di perairan Terengganu dibawa lari nelayan asing termasuk daripada Vietnam.
 
Exco Kerajaan Negeri, Dr Azman Ibrahim berkata, bentuk fizikal dengan pantai terbuka serta paling panjang di negara ini iaitu 244 kilometer menjadikan ia sentiasa terdedah kepada pencerobohan.
 
Situasi tersebut jelasnya, hingga menyebabkan nelayan tempatan terutama nelayan pantai putus asa untuk ke laut setelah peralatan mereka hilang atau rosak angkara nelayan asing yang menceroboh.
 
Sehubungan itu menurutnya, Kerajaan Terengganu sedang menimbangkan untuk menghantar nota bantahan kepada pemerintah Vietnam melalui Wisma Putra bagi menyelesaikan isu tersebut.
 
Beliau ditemui di selepas taklimat oleh Ketua Pengarah Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM), Dato' Seri Zulkifli Abu Bakar di Pejabat APMM Pulau Kambing, di sini kelmarin.
 
Beliau dalam pada itu turut menzahirkan penghargaannya atas kejayaan APMM menangkap bot nelayan asing yang merompak khazanah negeri tersebut bernilai jutaan ringgit minggu lalu.
 
Tambah beliau, masalah dihadapi termasuk bot yang ditahan adalah milik nelayan tempatan tetapi dioperasikan oleh nelayan asing, namun difahamkan APMM sentiasa meningkatkan pemantauan.
 
Usaha itu difahamkan kepadanya bahawa digiatkan bersama armada Tentera Laut Diraja Malaysia dengan kedua-dua pihak juga sedang menambah aset dari masa ke masa. -HARAKAHDAILY 19/7/2018