"Ambe pun minat motosikal retro" - Ir Saiful

Berita
Typography
PERHATIAN Adun Kemasik, Ir Saiful Azmi Suhaili tertarik kepada sebuah motosikal retro Yamaha RX-S yang ditemui sebaik sahaja selesai beriadah di Pantai Kuala Kertih di sini, pagi semalam.
 
"Kenderaan ini mempunyai keistimewaan tersendiri dengan keunikan reka bentuknya selain sarat dengan nilai nostalgia bagi sesetengah orang.
 
"Walaupun tiada pengalaman peribadi memiliki atau mengemudi jentera ini, namun ambe (saya) cukup berminat dengan pelbagai kenderaan retro," ujarnya ringkas.
 
Menurut tuan punya motosikal, Mohd Ali Muhamad, 51, dari Kampung Baru Kertih, variasi Yamaha RX-S yang dimilikinya itu dikeluarkan pada tahun 1984 dan beliau membelinya pada tahun 1996 dengan harga RM500 sahaja.
 
"Ini adalah motosikal model RX-S kedua dimiliki, yang pertama telah hilang dicuri orang.
 
"Motosikal yang cukup popular pada akhir 1970-an dan awal 1980-an ketika ini masih mempunyai penggemarnya sendiri bukan sahaja golongan berusia malah generasi muda," kata Mohd Ali lagi.
 
Ir Saiful juga berharap peminat motosikal retro di Dun Kemasik boleh dikumpulkan untuk membolehkan mereka berkongsi minat, pengalaman selain bertukar-tukar pandangan mengenainya.
 
"Tentu meriah kita di Dun Kemasik jika pemilik motosikal retro Honda C70, Yamaha RX-S, Yamaha Enduro 125, Yamaha RD350 LC, Yamaha RX-Z, Suzuki GP125, Honda Raider HX 135, Suzuki Gamma berjaya kita satukan," kata beliau penuh minat dan berpengetahuan. -HARAKAHDAILY 21/7/2018