Mahkamah bebas pemilik Pasti daripada tuduhan

Berita
Typography

MAHKAMAH Majistret Johor Bahru hari ini melepas dan membebaskan pemilik premis Pasti al- Irfan, Taman Daya, Johor Bahru di sini daripada pertuduhan menjalankan pemajuan tadika tanpa mendapat kebenaran daripada Majlis Perbandaran Johor Bahru (MBJB).

Dalam keputusan dibacakan, pihak mahkamah mendapati pendakwaan gagal membuktikan kes ‘prima facie’ untuk mensabitkan pemiliknya, Leong Thong Foh dan Choo Sau Mei atas pertuduhan di bawah Seksyen 19 Akta Perancangan Bandar dan Desa 1976 MBJB.

Premis tersebut telah disewakan pemilik kepada PAS dan dijadikan sebagai Pasti yang sebagaimana disahkan oleh Peguam PAS, Mohammed Zamri Ibrahim dan Ahmad Daniel Roslan mewakili defendan bahawa ia bukan tadika tetapi merupakan aktiviti PAS.

“Oleh itu, peruntukan undang-undang berkenaan adalah tidak terpakai ke atas Pasti. Semasa perbicaraan, pihak pendakwa telah gagal menunjukkan Pasti adalah merupakan sebuah tadika.

“Kedua-dua pemilik premis berkenaan dilepas dan dibebaskan di akhir kes pendakwaan tanpa dipanggil membela diri,” terang Mohammed Zamri.

Hadir sama di mahkamah pada sesi keputusan itu ialah Timbalan Pesuruhjaya PAS Johor, Ustaz Abdullah Hussin; Ketua Pemuda PAS Johor, Juwahir Amin dan Timbalan Pengarah PASTI Pusat, Mohd Shah Mior Qasim. – HARAKAHDAILY 15/3/2017