23
Sun, Apr
13 Artikel Baru

Lim Kit Siang elok jaga ahli sendiri

Berita
Typography

PAS Selangor membidas kenyataan Ketua Parlimen DAP, Lim Kit Siang yang mahu menawan ahli-ahli PAS untuk menang pilihan raya umum tanpa Presiden PAS, Datuk Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang.

Setiausaha PAS, Mohd Khairuddin Othman menegaskan, PAS Selangor menasihati agar Lim Kit Siang tidak perlu bersusah payah untuk "memancing" ahli-ahli PAS di Selangor.

Ini kerana kata beliau, ahli-ahli PAS seluruh negara khasnya di Selangor tetap setia dengan kepimpinan dan parti yang ada.

"Lebih baik beliau memberi tumpuan kepada ahli DAP yang keluar meninggalkan DAP dari membuang masa memujuk ahli PAS," tegasnya.

Beliau yang juga Adun Paya Jaras menegaskan, bukan sahaja ahli PAS yang tetap setia kepada parti, malah orang yang menyokong Umno juga mula memberi harapan kepada PAS.

Begitu juga masyarakat Tionghua yang masih kekal menyokong perjuangan PAS, tegasnya.

"Masyarakat Malaysia khususnya Melayu akan menolak mana-mana pakatan yang di dominasi oleh DAP seperti Pakatan Harapan. Ini realiti sebenar," tegas beliau.

Beliau mempersoalkan, "Kalau ahli kita (PAS) tidak memilih PAN (Amanah), apakah mereka akan memilih DAP?"

Sehubungan itu tegas beliau, PAS Selangor tetap memberi fokus berhadapan dengan Umno dan tetap akan bertanding di semua kerusi yang PAS tanding selama ini.

Ahli Parlimen Gelang Patah, Lim Kit Siang membuat kenyataan pembangkang boleh menang pilihan raya umum akan datang tanpa Presiden PAS, Datuk Seri Hadi Awang jika mereka mampu menawan penyokong akar umbi PAS.

Beliau berkata demikian dalam sesi teh tarik bersama belia di Subang Jaya, baru-baru ini. – HARAKAHDAILY 17/3/2017