26
Wed, Jul
31 Artikel Baru

Hubungan PAS dengan PKR, tunggu muktamar

Berita
Typography

PAS akan membuat keputusan sama ada untuk terus bersama Parti Keadilan Rakyat (PKR) atau sebaliknya selepas muktamar akan datang.

Naib Presidennya, Datuk Mohd Amar Abdullah berkata, hanya muktamar akan tentukan keputusan itu.

Menurut beliau, keputusan yang dibuat bukan mengikut pertimbangan peribadi mana-mana pimpinan.

Amar bagaimanapun berkata, keputusan itu akan diambil kira dari jumlah kawasan yang membuat keputusan berhubung perkara itu.

“Kita tengok keputusan PAS kawasan di seluruh negara ni macam mana.

“Kalau hanya beberapa kawasan sahaja yang membuat usul atau gesaan itu, kita tidak boleh mengambil kira,” ujarnya.

Beliau berkata demikian kepada media selepas majlis perasmian Istiadat Pembukaan Penggal Kelima Dun Kelantan ke-13 oleh Pemangku Raja Kelantan Dr Tengku Muhammad Fa-iz Petra Ibni Sultan Ismail Petra hari ini.

Jelasnya, setakat ini hanya tiga kawasan sahaja yang meminta putuskan hubungan dengan PKR.

“Jadi kena tunggu muktamarlah, kita nak komenpun tak boleh. Terlalu awal untuk saya jawab.

“Kita akan bergerak mengikut keputusan,  tetapi kalau muktamar masih ingin kekalkan hubungan itu, kita akan kekal macam biasa,” ujarnya.
Amar yang juga Timbalan Pesuruhjaya PAS Kelantan, berkata hubungan dengan PKR di negeri itu masih baik.

Jelasnya, setakat ini tiada usul atau desakan supaya PAS memutuskan hubungan dengan PKR.

“Yang ada hanya satu, itupun di peringkat Pemuda Kawasan Tumpat,” ujarnya.

Ketika diminta mengulas tentang Ketua Dewan Pemuda PAS Malaysia, Ustaz Nik Mohamad Abduh Nik Abdul Aziz yang tewas dalam pemilihan Mesyuarat Agung PAS Pengkalan Chepa baru-baru ini, beliau berkata perwakilan inginkan pimpinan yang boleh menumpukan perhatian pada kawasan.

Jelasnya, perwakilan bukan tidak suka tetapi Nik Abduh telah memegang jawatan di peringkat pusat.

“Pada masa yang sama beliau pula wakil rakyat Parlimen Pasir Mas,” ujarnya.

Katanya, para perwakilan mengambil keputusan untuk memilih mereka yang mudah untuk berurusan dalam kawasan Pengkalan Chepa.

Justeru itu, tambahnya perwakilan memilih Timbalan Yang Dipertua Dr Izani Husin untuk mengekalkan jawatan itu.

“Saya juga sibuk, jadi sesuailah Dr Izani menggantikan saya di peringkat kawasan,” ujarnya. - HARAKAHDAILY 20/3/2017