Belajar di barat, hantar anak sekolah agama

Berita
Typography

KUALA TERENGGANU: Presiden PAS, Dato' Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang berkata budaya yang dibawa oleh Barat akan meruntuhkan manusia.

Beliau berkata, di negara-negara maju, jenayah berlaku setiap minit, terpengaruh dengan dadah, anak tidak mempedulikan bapa sehinggakan orang kaya menulis wasiat kepada anjing peliharaan.

"Ini keluar dalam surat khabar. Tulis surat wasiat ke anjing sebab anjing jaga dia, anak tinggal rumah, tak ambil peduli,” katanya pada Majlis Perasmian Madrasah Darul Ulum dan Pusat Tarbiah Qaryah Chendering, semalam.

Ahli Parlimen Marang itu menambah, Barat meninggalkan aspek rohani dan akhlak sebaliknya hanya menumpukan kepada sains dan teknologi sehingga dicipta senjata yang boleh membunuh manusia.

Beliau memberikan contoh bom atom ketika Perang Dunia Kedua di Hiroshima dan Nagasaki yang membunuh beratus ribu manusia.

Katanya, disebabkan budaya buruk itu maka cerdik pandai termasuk yang belajar di Barat mencari sekolah agama untuk memperkenalkan anak mereka dengan pengajian agama fardhu ain.

Menurut beliau, sekolah agama pada hari ini tidak mencukupi disebabkan ramai di kalangan masyarakat yang menghantar anak-anak mereka ke sekolah agama untuk mendalami asas agama

"Tujuan kita mengadakan madrasah, mengadakan sekolah seperti ini ialah untuk memberi ilmu-ilmu asas kepada anak-anak kita.

"Lepas tu dia masuk sekolah dalam keadaan ada jati diri, ada kekuatan, ada sahsiah, sifat peribadi yang tinggi tak terpengaruh dengan gejala-gejala sosial yang berlaku pada hari ini," ujar beliau lagi.

Katanya lagi, pendidikan prasekolah, pendidikan sekolah rendah merupakan sebuah langkah yang wajib diambil oleh semua sama ada kerajaan atau masyarakat. – HARAKAHDAILY 20/10/2018