ICERD: PAS kumandang empat amaran

Berita
Typography

KUALA LUMPUR: Timbalan Presiden PAS, Dato' Ustaz Tuan Ibrahim Tuan Man melontarkan empat amaran berkenaan isu ratifikasi ICERD yang perlu diberikan perhatian serius pihak terbabit.

Pertama tegasnya, negara luar diingat tidak perlu campur tangan dalam urus tadbir Malaysia kerana rakyatnya lebih mengetahui untuk memimpin negara ini.

"Kita berhimpun bukan untuk anti Cina, bukan anti India, tapi kerana mempertahankan hak orang Melayu dalam negara. Kita berhimpun bukan kerana benci agama Hindu, Buddha atau Kristian, tapi mempertahankan hak Islam sebagai agama rasmi Persekutuan.

"Kita berhimpun bukan nak ambil tanah orang Cina, tanah orang India, tapi kita berhimpun untuk pertahan Tanah Rizab Melayu yang dijamin Perlembagaan Negara," ujarnya pada Himpunan Aman Rakyat Bantah ICERD di Dataran Merdeka, tadi.

Jelasnya lagi, himpunan hari ini bagi menyatakan kekuatan orang Melayu berada di atas agama Islam yang dianuti, juga sebagai penyatuan dan kemenangan Islam.

Sekali gus juga peringatnya mesti menobatkan Islam sebagai suatu teras dalam pembentukan negara Malaysia.

Amaran kedua lontarnya, sekiranya Kerajaan PH berdolak dalih selepas ini, rakyat bersedia berhimpun di Putrajaya bagi menumbangkan pentadbiran mereka.

"Amaran kami yang ketiga, tolong jangan ganggu gugat kestabilan dan keharmonian negara. Golongan pelampau yang menggugat negara ini mesti dihentikan segera.

"Kita beri amaran, kalau mereka bertindak, kami rakyat akan bangun memastikan mereka tunduk dan dikalahkan dalam pilihan raya akan datang," tegasnya.

Memperingatkan amaran keempat, beliau menasihati anak muda bahawa isu ICERD adalah soal masa depan yang perlu disemai dengan benih menyayangi agama, bangsa dan tanah air. - HARAKAHDAILY 8/12/2018