RUU355 dicemburui dan dihalang banyak pihak

Berita
Typography

KUALA LUMPUR: Usaha PAS membawa pindaan RUU355 ke Parlimen bertujuan memperkenalkan perundangan Islam yang mendidik berbanding hukuman Sivil di mana boleh mencedera, mencacat dan menghinakan.

Presiden PAS, Dato' Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang berkata, dari maklumatnya, apabila pelaksanaan serupa diadakan di Acheh, orang bukan Islam di sana telah memilih perundangan syariah.

Bagaimanapun, usaha tersebut dedahnya, turut mendapat halangan dalam kalangan bukan ahli politik, tetapi agama lain yang tidak mengizinkan kerana khuatir orang bukan Islam akan memilih Islam.

Perkara tersebut dijawabnya pada program Bicara Minda Bersama Presiden PAS anjuran Sinar Harian yang telah dilangsungkan di syarikat media itu di Shah Alam, petang semalam.

Walaupun mengakui terdapat persepsi dan dikaitkan dengan Taliban serta gambaran menakutkan, tetapi beliau mahu supaya RUU355 diberi peluang dilaksanakan supaya dapat didedahkan hakikat sebenar.

"Kita kena sedar bahawa untuk meluluskannya, mesti bukan sahaja melalui politik, termasuk melalui perbincangan, pentadbiran. Perundingan sudah dibuat antara Kerajaan Kelantan dengan Kerajaan Pusat di bawah JPM.

"Persetujuan dibuat dibawa ke Parlimen. Bila bawa, kita dapati kalangan parti-parti politik yang cemburu, (kerana) kalau diizinkan akan berlaku pengaruh besar kepada kalangan lain terhadap Islam," ujarnya menceritakan halangan yang berlaku. - HARAKAHDAILY 13/12/2018