SKMM: Pengerusi dan CEO wajar orang berlainan

SHUHAIMI EMBONG | .

RASANYA tidak lewat untuk saya mengucapkan Selamat Tahun Baru 2015 kepada semua pembaca Gerbang IT ini. Agak lama saya tidak muncul dalam kolum ini, ini adalah tulisan pertama tahun ini.

Saya tidak membaca portal Digital News Asia berhubung dengan hasrat melantik seorang Umno untuk mengetuai Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (SKMM) tetapi setelah membaca ‘ramalan’ sebuah akhbar arus perdana tentang spekulasi Pengerusi dan Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) SKMM tak dilanjutkan kontrak menyebabkan banyak pihak yang berkepentingan dalam industri komunikasi dan multi media mula bertanya, siapakah peneraju SKMM yang baru?     
 
Di sini, saya tidak berminat untuk mengulangi apa yang dibicarakan dalam artikel tersebut buat masa ini, termasuk cadangan untuk melantik bekas calon Umno/BN Permatang Pauh Dr. Mazlan Ismail yang disebut sebagai pengganti kepada Datuk Mohamed Sharil Tarmizi yang tamat kontrak pada 31hb Disember 2014 lepas.

Pada saya mudah sahaja, jika Dr Mazlan Ismail, bekas Pegurus Besar Telekom Malaysia itu mempunyai kelayakan dan pengalaman yang diperlukan untuk menerajui SKMM, itu terpulanglah kepada budi bicara Menteri yang dipertanggungjawabkan dalam bidang komunikasi dan multimedia ini.

Cuma apabila dalam tulisan tersebut, kelewatan melantik ‘bos SKMM’ itu cuba dikaitkan dengan banjir menyebabkan Menteri Komunikasi dan Multimedia, Datuk Ahmad Shabery Cheek belum dapat mengumumkan pemegang jawatan tersebut menampakkan kelemahan yang ketara kepada Menteri berkenaan.

Tulisan ini tidak cuba untuk memuji atau membodek mana-mana pihak, tetapi untuk mmenyampaikan mesej kepada pihak berkuasa dan kerajaan yang memerintah untuk melakukan perubahan dalam tadbir urus SKMM pada masa depan kerana saya ada sedikit pengalaman berurusan dengan SKMM apabila telefon saya kena ‘klon’ semasa pilihan raya kecil Kajang tahun lepas.
 
Apa yang sepatutnya Ahmad Shabery lakukan pada masa ini adalah melakukan transformasi kepada SKMM itu sendiri iaitu pada peringkat ini dengan memisahkan pemegang jawatan Pengerusi dengan CEO SKMM  kepada dua orang yang berbeza supaya ada ‘check and balance’.   

Sebelum ini pun ada pihak yang pernah mencadangkan supaya CEO tidak memegang jawatan Pengerusi sekali gus kerana amalan seperti ini jarang berlaku tetapi hanya boleh berlaku dalam keadaan ‘terpaksa’ seperti memangku untuk jangkamasa pendek sebelum dikenalpasti calon lain.  

Kita berharap cadangan terbuka ini diambil perhatian oleh Menteri yang berkenaan dengan melantik orang yang layak untuk kedua-dua jawatan tersebut.  – HARAKAHDAILY 8/1/2015

Share on Myspace