Akhbar digital Eharakah bukan Harakahdaily

SHUHAIMI EMBONG | .

 

PEMBACA harakah yang sentiasa berurusan dengan internet amatlah sesuai untuk mendapatkan akhbar digital Harakah ini. Apa yang menarik Harakah edisi Jumaat bukan sahaja boleh dibaca awal sehari iaitu pada hari Khamis, malah lebih awal lagi ketika ia masih dicetak di kilang pun pelanggan harakah boleh membacanya secara online. Begitu juga dengan edisi Isnin juga boleh dibaca sebelum hari berkenaan walaupun di mana kita berada selagi ada capaian internet.

Ramai juga yang bertanya, adakah epaper harakah atau singkatannya Eharakah tidak sama dengan Harakahdaily? Malah ada yang beranggapan semua yang ada dalam internet adalah percuma. Disebabkan portal berita Harakahdaily percuma, kenapa akhbar digital, epaper Harakah juga tidak diberi secara percuma kepada pelayar siber?

Selain menjelajah ke dunia cetak, Harakah kemudian ke dunia siber sehingga melahirkan portal berita, Harakahdaily. Selepas itu, satu lagi pembaharuan yang dibuat Unit IT Harakah adalah edisi akhbar digital, ePaper Harakah yang memberi sentuhan baru lebih cepat dan efisyen kepada pelayar siber dalam kalangan pencinta Harakah  diperkenalkan.

ePaper Harakah (Eharakah) yang dilancarkan pada tahun 2009 ketika sidang Muktamar PAS Ke-52 yang berlangsung di Shah Alam dulu memang berbeza dengan Harakahdaily. Malah ia pun bukan Harakahdaily atau sebahagian daripada Harakahdaily. Apa yang saya sentiasa sebut sebelum ini, ePaper berbeza dengan Harakahdaily yang lebih kepada berita terkini sahaja, manakala ePaper memaparkan kesemua yang terkandung di dalam Harakah cetak termasuklah iklan, artikel, dan sebagainya sebagaimana akhbar harakah edisi cetak itu sendiri. Pendek kata ePaper adalah klon Harakah cetak.

Apa yang menarik, akhbar digital harakah ini seolah-olah ia bercetak, dapat menyelak helaian muka suratnya seperti Harakah bercetak dengan menggunakan tetikus, tiada masalah kerana helaian muka surat boleh zoom sehingga paparan menjadi besar dan amat jelas untuk dibaca.

Ia adalah inisiatif yang diambil oleh Harakah untuk mempelbagaikan produk Harakah di alam siber. teknologi e-paper itu, idea mewujudkannya timbul selepas terdapat permintaan tinggi daripada pembaca di luar negara contohnya di Canberra Australia, Jordan, Mesir, Turkey, Jerman, London dan dimana-mana sahaja pembaca setianya boleh mengakses ePaper Harakah.

Malah, ia merupakan penyelesaian kepada pembaca setia akhbar Harakah terutamanya di Sabah dan Sarawak serta mereka yang berada di negara berjiran seperti Singapura, Brunei, Indonesia dan lain-lain yang menghadapi masalah edaran Harakah yang terhad dan tidak menentu, bolehlah melayari terus ke alamat tersebut.

Bagi mereka yang tinggal di luar Negara atau sukar mendapatkan akhbar digital harakah inilah cara yang paling mudah dan efisyen untuk mendapatkan maklumat daripada Harakah cetak.

Pembaca Harakah yang sukar untuk mendapatkan akhbar itu versi cetak boleh mendaftar di alamat http://epaper.harakah.net.my dan bagi pengguna baru mereka boleh mengakses secara percuma selama seminggu.

Eharakah pernah memiliki lebih 20,000 pelanggan berdaftar sebaik parlimen dibubarkan untuk PRU ke-13 pada tahun 2013 yang lalu dimana lebih 2,000 orang mendaftar sehari sebaik sahaja apabila pengumuman diberikan percuma secara selama satu bulan. – HARAKAHDAILY 22/1/2015

Share on Myspace