Etika media sosial kepada ahli gerakan Islam

SHUHAIMI EMBONG | .

SEBELUM kita pergi lebih jauh membincangkan tajuk ini, Etika Media Sosial kepada Ahli Gerakan Islam, lebih baik kita memahami dulu, apa itu media sosial atau “social media” yang menjadi komponen kepada media baru yang hangat diperkatakan terutama bagi Gen X dan Gen Y  dewasa ini.

“Media” – apa yang kita gunakan untuk berhubung dengan manusia yang lain.

“Social” – merujuk kepada keperluan naluri manusia yang menghubung dengan manusia yang lain. Jadi “Social Media” atau media sosial adalah bagaimana kita boleh menggunakan teknologi maklumat dan komunikasi (ICT) secara berkesan untuk mendekati dan menyambung dengan manusia yang lain, mewujudkan hubungan interaksi komunikasi sosial dua hala - dialog secara interaktif, dari monolog (satu hingga banyak) untuk berdialog (banyak kepada ramai) digunakan untuk membina kepercayaan Media seperti Facebook, Twitter, WhatsApp, Blog dan sebagainya.

Manakala etika pula merujuk kepada Kamus Dewan Edisi Keempat adalah;
1. ilmu berkenaan prinsip-prinsip akhlak atau moral;
2. prinsip moral (atau akhlak) atau nilai-nilai akhlak yang menjadi pegangan seseorang individu atau sesuatu kumpulan (persatuan, pekerjaan, dan lain-lain);

Sementara itu Gerakan Islam pula mengikut pandangan seorang tokoh Gerakan Islam, Dr Yusuf Al Qardhawi mendefinisikan, Gerakan Islam adalah istilah yang dimaksudkan bagi satu amal Islami berterusan yang bersifat massa, berkumpulan dan tersusun demi mengembalikan hak agama Islam untuk memimpin masyarakat dan mengarah seluruh kehidupan.

Setelah kita memahami istilah-istilah diatas, barulah lebih mudah kita membincang dan memahami tajuk yang diperkatakan ini dalam satu seminar berkaitan dengan perkara ini, ‘Seminar IT: Tepati Syariah, Patuhi Sunnah’ yang dianjurkan oleh Lajnah IT PAS Sabah di Kota Kinabalu pada 22hb Februari, 2015 baru-baru ini.

Sungguhpun begitu, saya tidak bercadang untuk membuat satu artikel yang panjang, tetapi sekadar melontarkan ulasan di kolum Gerbang IT ini kerana tidak dapat hadir untuk mengikuti pembentangan oleh Rahimin Mustafa, mantan Pengarah IT Sabah berhubung tajuk di atas dalam seminar tersebut.

Pada saya, penglibatan dalam media sosial kepada ahli gerakan Islam dengan mengambil PAS sebagai contohnya mestilah tidak lari daripada dalam kerangka perlembagaan PAS itu sendiri yang bermatlamatkan untuk “mencari keredhaan Allah”.

Perkara ini boleh dirujuk dalam Fasa 6, bab ke-3 Perlembagaan PAS yang menyebut antara lainnya, “menyeru umat manusia kepada Syari'at Allah dan Sunnah Rasul-Nya melalui dakwah secara lisan, tulisan dan amalan. Memupuk dan memperkukuhkan dan memperkuatkan ukhuwah Islamiyah serta menyuburkan rasa perpaduan dalam kalangan rakyat bagi memelihara kehidupan politik dan masyarakat yang sihat dan berkebajikan”.

Ini sesuai dengan firman Allah SWT dalam Surah al-Hujurat ayat 6 bermaksud;
"Wahai orang-orang beriman! Jika datang kepadamu orang fasik yang membawa sesuatu berita, maka telitilah kebenarannya, agar kamu tidak mencelakakan suatu kaum kerana kebodohan (kejahilan), yang akhirnya kamu menyesali perbuatanmu itu."

Pengajaran daripada ayat ini boleh disimpulkan kepada beberapa perkara:

1. Jangan mudah mempercayai berita-berita atau bahasa moden sekarang adalah gosip yang mudah sampai kepada kita terutamanya melibatkan aib seseorang.

2. Berita yang seakan yakin akan kebenarannya perlu diteliti dan mendapat kepastian dari sumber yang sah bukannya disebarkan berita tersebut dengan tujuan mencari simpati, publisiti atau sengaja/tidak sengaja mencari kesalahan orang lain dengan niat yang pelbagai seperti hasad dengki, amarah, tidak puas hati dan seumpamanya.

3. Jika wujud keraguan dalam berita/khabar angin tentang sesuatu perkara hendaklah dijauhi dan dibuang jauh-jauh kerana ia akan menjerumus kepada perpecahan dan penyesalan. Contoh mudah adalah apabila kita mengesyaki seseorang berzina tetapi tidak ada cukup empat orang saksi dan orang yang kita syaki melakukannya pun tidak pernah mengakuinya, mengapa harus kita buruk sangka dan menyebarkan berita yang tidak tentu betul? Sudah tentu akan menimbulkan persengketaan antara muslim dan mewujudkan baiah atau suasana yang tidak kondusif dalam masyarakat Islam. Ingat kebenaran tertegak, jika ia betul-betul terjadi!

4. Segeralah menyesal dan memohon ampun kepada Allah jika tersilap dalam berbicara atau menyebarkan berita yang salah atau fitnah. Juga jangan lupa memohon maaf kepada tuan punya badan kerana perbuatan memfitnah lebih keji daripada membunuh! Pepatah orang tua mengatakan: Terlajak perahu boleh diundur, terlajak kata buruk padahnya. Sesal dulu pendapatan, sesal kemudian tiada gunanya.

Penegasan ini telah diberikan oleh Presiden PAS, Datuk Seri Tuan Guru Hj Abdul Hadi Awang. Berikut adalah sedutan Ucapan Dasar MUKTAMAR TAHUNAN PAS KE-60 (2014) dibawah tajuk kecil, Istiqamah Membawa Kebaikan Menerusi Media Baru menyebut;  

1. Kebelakangan ini, PAS bukan sahaja diserang bertubi-tubi oleh media arus perdana yang masuk ke dalam setiap buah rumah sehingga mewujudkan situasi tidak seimbang di kalangan rakyat. Malah serangan dalam kalangan ahli-ahli PAS sendiri lebih teruk lagi menggunakan media sosial terutama FB, Twitter dan sebagainya sekarang ini sendiri seolah-olah mereka yang terlibat dalam perang siber ini sudah hilang punca. Firman Allah SWT: Tidakkah kamu memperhatikan bahawa Allah telah mempermudahkan untuk kegunaan kamu apa yang ada dilangit dan apa yang ada dibumi, dan telah melimpahlan kepada kami nikmat-nikmat-Nya yang zahin dan batin. [Luqman : 20]

2. Media baru dalam dunia tanpa sempadan ini sepatutnya dimanfaatkan untuk tujuan dakwah dan tarbiyah bagi memperbetulkan manusia dan mengembalikan manusia ke jalan yang benar. Saya bersetuju dengan saranan Lajnah IT, Komunikasi dan Multimedia yang menyarankan tiga langkah jangka panjang yang boleh dijadikan polisi dan garis panduan dalam memanfaatkan komunikasi dan sebaran maklumat secara pantas melalui media baru ini agar lebih bertanggungjawab dan berhikmah iaitu:

i. Tanggungjawab kepimpinan dalam memanfaatkan ICT dan Media Baharu iaitu kepimpinan dan ahli-ahli PAS perlulah memikul amanah dan pertanggungjawaban dengan apa jua maklumat yang berpunca dari diri mereka.

ii. Memanfaatkan Laman Web dan Media Sosial rasmi PAS untuk sebaran maklumat rasmi organisasi dengan lebih bertanggungjawab dan terurus melalui proses penyebaran yang selamat.

iii. Sentiasa memantau saluran media baru seperti blog dan media sosial demi mengurangkan mafsadah dan fitnah agar kandungannya menguntungkan perjuangan Islam itu sendiri.

Untuk itu, peranan Lajnah Penerangan dan Hubungan Media serta Lajnah IT, Komunikasi dan Multimedia menjadi semakin penting dan perlu diperkukuhkan dalam organisasi parti bagi mengambil faedah daripada ledakan ‘media baru’ ini untuk dimanfaatkan sepenuhnya selain daripada Harakah dan Harakahdaily perlu dikembangkan kandungan dan capaiannya dari masa ke semasa terutamanya dalam menghadapi fenomena ledakan maklumat perang siber sekarang ini.

Seperti yang ditegaskan dalam muktamar sebelum ini, media parti seperti Harakah, Harakahdaily dan radio internet hijau.fm, mestilah berusaha membentuk fikrah dan menyampaikan maklumat berdasarkan acuan parti yang telah distrategikan bagi disampaikannya kepada rakyat yang menjadi pengundi senyap dalam pilihan raya bagi meghadapi PRU ke-14 nanti. – HARAKAHDAILY 26/2/2015

Penulis adalah Pengarah Jabatan IT Pusat.

Share on Myspace