Fitnah Siber makin berleluasa!

SHUHAIMI EMBONG | .

BANYAK isu berkaitan dengan IT yang boleh dikongsi dengan pembaca tetapi saya jarang dapat peluang untuk menulis dalam kolum Gerbang IT ini kerana kekangan masa. Saya hanya  menulis apabila ada kelapangan dan ada keperluan yang mendesak untuk menulis sahaja.

Kira-kira setahun yang lalu, saya ada menulis berkaitan perkara ini, ‘Penyamaran atau Penipuan Siber: Apa kesudahannya?’ pada 25hb Mac, 2014 bila anak saya ditipu dalam transaksi internet dan handphone saya ‘digodam’ dengan dihantar pesanan ringkas (sms) yang kononnya daripada saya menyebabkan saya mendapat panggilan yang bertalu-talu tentang kesahihan sms tersebut semasa Pilihan Raya Kecil Kajang.  

Kali ini menjelang pemilihan PAS, sekali lagi nama saya muncul dengan berbagai-bagai tuduhan dan fitnah yang dibuat dengan menggunakan media social, facebook atas nama Osman Jailani dengan gambar saya sebagai ‘fake account’ oleh cybertrooper upahan bagi melakukan gerak kerja saraf dan propaganda siber, berkemungkinan berkaitan dengan pemilihan PAS pada kali ini dengan dakwaan ‘agen Umno dalam PAS’ dan mendapat peruntukan dana disalurkan melalui Zahid Hamidi.

Saya mendapat maklumat ini ketika berada ditanah suci mengerjakan umrah lebih seminggu yang lepas, tetapi saya beritahu kawan-kawan, sekarang sedang buat umrah, nanti balik Malaysia baru jawab sebab saya tidak mahu memikir hal tersebut.

Saya tidak pernah bertemu dengan Zahid Hamidi sama ada di Malaysia ataupun di luar negara, sama ada di London atau di mana-mana. Saya juga tidak pasti macam mana boleh jadi agen Umno, kerana tidak ada mana-mana pimpinan Umno pun yang menawarkan saya untuk menjadi agen mereka dalam PAS!  

Saya tidak tahu dari mana maklumat ini diambil, tetapi saya meminta pihak Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (SKMM) dapat menyiasat perkara ini dan mendakwa cybertrooper yang melakukan penipuan di alam siber ini kemuka pengadilan.

Seperti yang saya sebut dalam tulisan setahun yang lalu, “Secara jujurnya saya nyatakan, adalah sukar untuk membenterasnya walaupun ditubuhkan beberapa agensi khusus untuk mengendalikannya selagi manusia tidak kembali kepada Islam dengan menjiwai adanya dosa dan pahala diatas apa yang dilakukan termasuk dalam dunia siber ini”.  

Dalam membincangkan tajuk berkaitan ‘Etika Media Sosial kepada Ahli Gerakan Islam’ sebagai respon kepada kertas yang dibentangkan oleh mantan Pengarah IT PAS Sabah dalam Seminar IT: Tepati Syariah, Patuhi Sunnah” saya meminta mereka mengambil pengajaran daripada ayat 6 dalam Surah Al-Hujurat: 6 bermaksud;

"Wahai orang-orang beriman! Jika datang kepadamu orang fasik yang membawa sesuatu berita, maka telitilah kebenarannya, agar kamu tidak mencelakakan suatu kaum kerana kebodohan (kejahilan), yang akhirnya kamu menyesali perbuatanmu itu."

Saya teringat kepada satu quote dari Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man dalam Senyum Petang, “Asap fitnah merata-rata, apinya sukar dicari. Jangan sembur air pada asap, tetapi semburlah air pada api, nescaya hilanglah asap itu”   

Apabila ramai kawan-kawan dan kenalan yang bertanya tentang kebenaran hal ini, saya ada memberikan jawapan ringkas berikut kepada mereka dalam aplikasi WhatsApps “...semuanya adalah fitnah dan adu domba dalam media baru untuk tujuan pemilihan sahaja. Saya tak tahu-menahu apatah lagi tentang elHaraki dan TUC (Tok Usin ceroi). Sebelum ini Anti Husam pun dakwa saya juga... secara logiknya tak kan lah semuanya saya... tugas saya adalah Pengarah IT PAS dan terlibat sebagai AJK Penerangan tetapi tidak melibatkan bahagian saraf yang berada dibawah JPPrP. Semua ini ada perkiraan dosa dan pahala. Semuanya ini beri ganjaran pahala percuma kepada saya dan saya menyeru kepada yang buat tersebut bertaubatlah. Lebih elok minta maaf sekarang daripada terpaksa cari saya untuk minta maaf di padang masyhar nanti”HARAKAHDAILY 19/3/2015
       
Penulis adalah Pengarah Jabatan IT Pusat.

Share on Myspace