GST: Sektor ICT turut terima tempias?

SHUHAIMI EMBONG | .

TULISAN ini sekadar memberikan pandangan sepintas lalu kesan kepada perkembangan industri Teknologi Maklumat dan Komunikasi (ICT) setelah GST dilaksanakan bermula 1 April 2015.

PELAKSANAAN cukai barangan dan perkhidmatan (GST) baru-baru ini bukan sahaja dilihat mendapat bantahan rakyat secara meluas, tetapi kerajaan seolah-olah hilang kawalan pada hari pertama ia dilaksanakan.

Dalam kenyataan Woon Tai Hai, Pengerusi Jawatankuasa Penyelidikan Persatuan Kebangsaan ICT Malaysia (Pikom) sebelum ini, produk ICT seperti komputer dan telefon pintar tidak dikenakan cukai jualan (dibawah SST), tetapi apabila GST dilaksanakan produk tersebut akan dikenakan cukai sebanyak enam peratus (6 peratus).

Dengan perlaksanaan GST ini, ia sedikit sebanyak akan memperlahankan sentimen pengguna dalam berbelanja untuk produk teknologi. Selain itu, PIKOM juga menjangkakan kenaikan harga perkakas, perisian serta servis yang disediakan kepada pengguna, kerana kos yang meningkat akibat pengenalan cukai GST ini akan dikenakan kepada pengguna.

Dalam satu kenyataan Persatuan Industri Komputer dan Multimedia Malaysia (PIKOM), Cheah Kok Hoong Pengerusi  PIKOM menjangkakan penurunan jualan sebanyak 30 peratus bagi perkakas dan gajet seperti telefon pintar, PC, laptop, pencetak dan pelbagai barangan pengguna lain di samping  menyebabkan jualan yang perlahan untuk sekitar enam bulan akan datang.

Hal ini amat terkesan kepada Industri Kecil & Sederhana (IKS). Untuk berdepan dengan situasi kelembapan pasaran seperti ini, terpulang kepada mereka memanfaatkan penggunaan teknologi ICT untuk mengurangkan kos di samping mengekalkan pelanggan dalam pasaran yang sering berubah dengan pantas ini.

“Selain mengurangkan kos dalaman menerusi penambahbaikan dari segi kecekapan perniagaan, atau menawarkan perkhidmatan tambahan bagi mengekalkan asas pelanggan, peruncit juga digalakkan supaya menimbang untuk memanfaatkan trend ICT baharu muncul dan pesat berkembang, yang membanjiri pasaran serta menempatkan diri mereka di tempat yang lebih strategik supaya memperoleh manfaat apabila pasaran kembali rancak,” kata PIKOM.

Sambil berkongsi unjuran mengenai sektor ICT negara dengan impak GST yang  dilaksanakan mulai 1 April 2015, Pikom berkata kajian ke atas ‘Impak CBP ke atas Perniagaan’ menunjukkan lebih 60 peratus (60 peratus) organisasi ICT tempatan memperakui GST akan memberi kesan ke atas hasil mereka.

Dalam pada itu, PIKOM tidak melihat pembelian dan pelaburan produk teknologi oleh syarikat besar dan korporat akan terkesan dari cukai GST ini, kerana cukai 6 peratus yang dikenakan pembekal boleh dituntut semula dari Kastam Diraja Malaysia (Kastam) sebagai cukai kemasukan, jika mereka berdaftar dengan GST.

PIKOM percaya, walaupun akan terdapat kelembapan dalam pasaran sejurus kesan reaksi masayarakat terhadap pengenalan awal GST ini, sektor ICT di Malaysia akan terus berkembang dan mencatatkan keuntungan  RM95bilion menjelang 2017 kelak.

Melihat kepada unjuran PIKOM ini, adalah wajar kerajaan melalui agensinya yang berkaitan melihat kembali perlaksanaan GST kepada produk-produk ICT supaya IKS terutama industri peruncitan bumiputera tidak terjejas teruk dengan dasar kerajaan yang tidak popular ini.

Jika tidak, setelah genap sebulan perlaksanaan GST, bukan sahaja rakyat tetapi juga usahawan-usahawan dan peniaga-peniaga IKS akan turun beramai-ramai membantah perlaksanaan GST pada 1hb Mei, 2015 nanti.     

Sebenarnya, perubahan minda dan penerimaanlah yang diperlukan dalam pelaksanaan cukai ini disamping kekeliruan dan salah tanggapan mengenai GST oleh pasaran terutama dalam kalangan syarikat dan pengguna, perlu ditangani segera menerusi pendidikan berterusan dan kempen bergerak di sepanjang 2015. – HARAKAHDAILY 15/4/2015

Penulis adalah Pengarah Jabatan IT Pusat (JITP)

Share on Myspace