Kelebihan penggunaan ICT dalam perniagaan

SHUHAIMI EMBONG | .

PADA minggu ini, saya menulis sedikit lagi berhubung dengan penggunaan ICT yang perlu menjadi teras kepada perniagaan berasaskan internet. Dalam kolum ini pada keluaran lepas, saya telah menulis berhubung dengan betul atau tidak  perniagaan Internet jana untung lumayan?

Kebanyakan syarikat telah menggunakan perisian, komputer dan internet untuk meluaskan perniagaan mereka dari pasaran tempatan ke pasaran nasional dan global. Dengan adanya e-niaga (atau dipanggil e-dagang), sesebuah syarikat atau individu boleh melakukan transaksi jual beli di mana sahaja di dunia ini.

E-niaga kini digunakan secara meluas terutamanya di negara-negara barat malah diakui oleh syarikat antarabangsa dan pakar pasaran sebagai satu sektor perniagaan dan pemasaran yang tidak boleh diabaikan. Diantara kelebihan e-niaga dan Internet adalah:

1. Urusan jual beli dapat dijalankan dengan lebih mudah dan cepat di samping menjimatkan kos. Ia membantu syarikat untuk meluaskan pasaran keseluruh pelusuk  dunia dengan menjadikan ekonomi di dunia ini menjadi satu sistem yang bersifat saling-bergantung antara satu sama lain

2. Kemajuan teknologi dalam beberapa dekad yang lalu telah banyak meningkatkan daya saing dalam perniagaan dan ekonomi di seluruh dunia. Ia membantu mengintegrasikan semua bahagian dalaman syarikat dengan sesebuah transaksi perniagaan untuk meningkatkan kualiti perkhidmatan dan juga produktiviti.

3. Penggunaan ICT dalam perniagaan juga dapat membantu untuk menyampaikan maklumat perniagaan kepada pihak yang berkenaan seperti pelanggan dengan pantas dalam masa yang singkat para peniaga boleh membuat promosi dengan mengiklankan produk mereka melalui kemudahan Internet, SMS, emel dan pelbagai medium lain menyebarkan maklumat dengan lebih pantas, efisyen dan tepat.

Pada masa kini teknologi maklumat bukan sahaja melibatkan literasi komputer, malahan ia juga digunakan dalam proses komunikasi  perniagaan. Kecanggihan teknologi semasa sepatutnya direbut masyarakat terutama dikalangan bumiputera untuk mengakses maklumat selain menggunakan alam maya sebagai platform mempromosi perniagaan.

Bukan itu sahaja, peniaga juga akan dapat menjimatkan kos pengiklanan. Usahawan kini boleh mengiklankan  produk perniagaan mereka di laman sosial seperti facebook dan twitter  dengan pantas dan berkesan tanpa perlu mengeluarkan kos yang besar. Laman sosial tersebut boleh dikemaskini pada setiap masa jika terdapat maklumat baru mengenai perniagaan yang ingin disampaikan kepada pelanggan khususnya.

Melalui penggunaan ICT, usahawan juga akan mudah untuk mengetahui maklumat pesaing-pesaing yang ada dengan begitu mudah sekali. Ukuran kejayaan kepada perlaksanaan ICT di dalam perniagaan bercorak “k”(Knowledge) adalah:

1. Sentiasa menggunakan applikasi dan pendekatan baru dan inovatif,
2. Melakukan urusniaga secara berkala dan bersistem,
3. Berada dalam persekitaran yang selamat,
4. Maju dan senantiasa positif,
5. Sentiasa bersedia dalam persekitara selamat dan bermaklumat,
6. Mempunyai pengetahuan (berilmu) dan bermaklumat,
7. Pengurusan yang efisyen dan efektif.

Pihak kerajaan perlulah memperbanyakkan lagi program yang mampu memberi kesedaran kepada peniaga mengenai kepentingan ICT dan program yang mampu meningkatkan lagi kemahiran peniaga tentang penggunaan ICT.

Beberapa cadangan berkaitan ICT yang boleh dipertimbangkan oleh pihak kerajaan atau CSR syarikat-syarikat korporat tertentu iaitu;

1. Perbanyakkan kemudahan ICT di kawasan pedalaman yang lain supaya peniaga atau usahawan yang berada di pedalaman juga dapat menikmati faedah dan kemudahan menggunakan kemudahan ICT

2. Memperbanyakkan kursus ICT terutamanya terhadap peniaga atau usahawan yang baru sahaja  berkecimpung dalam bidang perniagaan. Dengan adanya kursus ICT terhadap uasahawan, dapat menjadikan usahawan bertambah yakin dengan penggunaan ICT dan membantu mereka untuk mengembangkan perniagaan dengan begitu mudah.

3. Peniaga atau usahawan perlulah bersikap terbuka supaya dapat mengubah perniagaan bagi menjamin perkembangan sesuatu perniagaan tersebut dan tidak berada di takuk lama untuk menggunakan teknologi baru ICT yang baru bagi memajukan lagi perniagaan.

Pendek kata, teknologi baru ICT telah memberi manfaat kepada para pengguna malah memberikan kemudahan dan kebaikan kepada syarikat. Dalam era ICT, penggunaan komputer tidak sepatutnya hanya kepada membuat operasi biasa atau asas sahaja seperti menyimpan akaun atau menguruskan kewangan, melakukan penaipan, malah ia harus digunakan lebih daripada itu. ICT perlu diekspoitasikan penggunannya dalam cabang perniagaan. – HARAKAHDAILY 18/8/2015

Penulis adalah Pengarah IT Pusat

Share on Myspace