1BestariNet atau SchoolNet punca Sekolah Bestari gagal?

SHUHAIMI EMBONG | .

PADA tahun 1996, Kementerian Pendidikan Malaysia telah menggubal konsep Sekolah Bestari berpusatkan pengajaran dan pembelajaran berpemikiran kritis dan kreatif dengan teknologi sebagai pengupaya telah menjadi komponen penting dalam konsep Sekolah Bestari apabila Projek Sekolah  Bestari diwujudkan sebagai satu daripada  Aplikasi Perdana Koridor Raya Multimedia.

Sedutan ucapan Menteri Pendidikan Malaysia ketika itu, menyebut “Pengwujudan Sekolah Bestari ini merupakan satu daripada tujuh aplikasi Perdana Koridor Raya Multimedia (MSC) Malaysia. Berlandaskan ini, hasrat dan matlamat kerajaan Malaysia menggunakan sepenuhnya kepakaran teknologi dan pertumbuhan pesat prasarana MSC untuk menggalakkan pembentukan Sekolah Bestari.” Memandangkan betapa pentingnya Sekolah Bestari kepada pembentukan generasi akan datang, kerajaan telah mengambil langkah menjadikan penjelmaan Sekolah Bestari sebagai satu daripada tujuh ‘flagship application’ dalam projek Mega Koridor Raya Multimedia.
 
Konsep Sekolah Bestari
 
Dokumen asal tentang Sekolah Bestari Malaysia ialah Smart Schools in Malaysia: A Quantum Leap, yang disediakan pada Januari 1997. Konsep Sekolah Bestari yang terkandung dalam dokumen The Malaysian Smart School: A Conceptual Blueprint merupakan idea yang terus berkembang berterusan dan sentiasa terbuka kepada perubahan dan kemajuan dalam pedagogi dan teknologi maklumat.
 
Sekolah Bestari Malaysia atau Malaysian Smart School ialah institusi pembelajaran yang direka semula secara menyeluruh dari segi amalan pengajaran, pembelajaran, pengurusan sekolah untuk menyediakan pelajar bagi Zaman Maklumat.
 
Ciri Sekolah Bestari yang paling ketara ialah suasana pengajaran dan pembelajaran yang dibina berdasarkan amalan terbaik dalam pendidikan rendah dan menengah daripada seluruh dunia. Ini melibatkan pemantapan kurikulum, pedagogi, penilaian dan bahan pengajaran dan pembelajaran yang sah.
 
Kurikulum di Sekolah Bestari lebih fleksibel dan terbuka. Di Sekolah Bestari pembelajaran akan bercorak ke arah kendiri mengikut kadar individu, kesinambungan dan reflektif. Ini akan berlaku dengan adanya pembekalan teknologi pelbagai media dan jaringan meliputi seluruh dunia. Pembelajaran berubah daripada berpusatkan guru kepada yang berpusatkan pelajar.
 
Pelbagai kaedah pengajaran dan pembelajaran akan digunakan di Sekolah Bestari. Komputer akan mengambil alih rutin dan pemyampaian maklumat dan membebaskan guru daripada tugasan pentadbiran yang remeh supaya mereka dapat menumpukan perhatian terhadap aspek pendidikan yang bersifat kemanusiaan.
 
Pelajar perlu diajar strategi untuk menerajui maklumat dengan cekap dan selektif. Oleh itu, penjaringan melalui internet juga membolehkan interaksi antara pelajar dan guru-guru yang lain serta orang ramai di seluruh dunia.
 
Penjaringan mempunyai kelebihan dari segi membolehkan pelajar yang tidak dapat menghadiri sekolah untuk membuat kerja sekolah dari rumah. Ini memberi makna baru kepada idea ketidakhadiran sekolah kerana pembelajaran masih dapat berlaku di luar sekolah.

Syarikat usahsama, Telekom Smartschool Sdn. Bhd  yang terdiri daripada tujuh syarikat tempatan telah menandatangani perjanjian dengan kerajaan untuk membangunkan system bersepadu Projek Rintis Sekolah Bestari ini dalam tempoh tiga tahun.

Kalau tidak silap ingatan saya, selain TMSmart School Sdn Bhd, ada tiga lagi  syarikat antarabangsa yang terlibat dalam Penyelesaian Bersepadu Sekolah Bersepadu. Ketiga-tiga syarikat antarabangsa ialah seperti berikut:  BT Multimedia (Malaysia) Sdn. Bhd, Electronic Data Systems IT Services (Malaysia) Sdn.Bhd dan NIIT Malaysia Sdn Bhd

Sekolah Bestari Malaysia akan mengambil juga konsep inovatif kelas melangkau maya. Pada tahun 1999, 90 buah sekolah perintis akan dijadikan nukleus bagi melaksanakan konsep, bahan pengajaran dan pembelajaran, kemahiran dan teknologi Sekolah Bestari.

Tiga aspek penting harus ditangani dalam pelaksanaan Sekolah Bestari, pertama, menyediakan infrastruktur pelbagai media. Kedua, aspek latihan kepada guru-guru amat penting. Ketiga, aspek bahan kursus yang baru, kemaskini, dan mencukupi perlu disediakan.
 
Kegagalan 1BestariNet dan SchoolNet

Telekom Malaysia menjadi kontrakor utama membekalkan infastruktur telekomunikasi kepada Projek SchoolNet yang terdiri daripada perkakasan, perisian, perisian sistem dan peralatan bukan-IT melalui anak syarikatnya Telekom SmartSchool Sdn Bhd.

Talian School Net yang dibekalkan mengalami banyak masalah terutama capaian internet. Dengan kelajuan 1 mbps, mana mungkin boleh digunakan oleh satu sekolah yang jumlah pengguna melebihi 100 guru dan murid. Capaian internet dikatakan kerap terganggu, terputus beberapa kali sehari menjadi perkara biasa ditambah pula dengan kelembapan untuk melayari internet.

Mulai tahun 2012, Kementerian Pelajaran Malaysia telah menamatkan perkhidmatan talian SchoolNet secara berperingkat. Surat pemakluman dihantar kepada pihak sekolah dan tinjauan tahap kepuasan hati pengguna (sekolah) turut dijalankan sejak tahun 2010. Selepas itu, kerajaan menganugerahkan projek 1BestariNet kepada YTL Communications Sdn Bhd untuk menyediakan akses internet dan pembelajaran maya.

Kementerian Pelajaran dengan kerjasama YTL Communication telah memperkenalkan 1BestariNet, pengganti kepada SchoolNet yang diharap mampu mengatasi permasalahan yang kian lama wujud. Talian yang menggunakan teknologi 4G atau tanpa wayar telah diperkenalkan ke seluruh negara.

Kalau tidak silap maklumat yang diberikan kepada saya oleh rakan-rakan yang terlibat, Setiap sekolah sekolah dibekalkan dengan empat set zoom untuk dipasang di tempat-tempat yang sesuai. Contohnya di pejabat pentadbiran, bilik guru dan makmal komputer. Satu set zoom, dijadikan simpanan jika berlaku kerosakan bagi mana-mana zoom yang dipasang. Melalui Zoom yang dibekalkan iaitu alat yang berfungsi sebagai pemancar wifi kepada pengguna, guru-guru dan pelajar boleh membuat sambungan ke internet.

Pada peringkat awal pemasangan talian 1BestariNet, iaitu semasa pengujian pada bulan Mac 2012 kelajuan sungguh luar biasa. Melalui speed test yang dijalankan, download speed ialah 15 mbps dan upload speed hampir 8 mbps. Tetapi kemudiannya kelajuan capaian internet mula merudum dan kerap terputus. Akses 1BestariNet di sekolah pula diberikan kepada pelajar melalui Wifi. Apabila hujan, ia tak dapat digunakan.

Untuk rekod, kita mendapat maklumat Projek 1BestariNet adalah untuk tempoh 15 tahun berjumlah RM4.077 billion secara keseluruhannya. Masalah yang dihadapi oleh 1BestariNet ini setelah dua setengah tahun, tidak semua sekolah dapat disiapkan dengan perkhidmatan tersebut. Pada akhirnya, YTL hanya menerima RM663 juta dan telah didenda sebanyak RM2.4 juta kerana gagal melengkapkan keseluruhan 10,000 buah sekolah seperti di dalam kontrak perjanjian.

Malah ada yang menyebut, ia lebih teruk daripada zaman SchoolNet dulu. Akhirnya, 1Bestari menghadapi masalah yang sama seperti SchoolNet beratus juta wang kerajaan ‘hangus’ begitu sahaja tanpa manfaat yang jelas kepada sekolah.

Saya tidak terlibat secara langsung tentang Projek Sekolah Bestari ini. Tetapi semasa saya berkhidmat dengan Telekom Malaysia dahulu, saya terlibat juga sedikit sebanyak di peringkat awal. Malah CEO TM Smartschool Sdn Bhd adalah bos saya dan juga CEO selepas itu juga adalah kawan-kawan saya. Jadi yang tidak bercadang menulis lebih daripada ini walaupun ada lagi maklumat yang saya tahu.

Saya tinggalkan dulu perkara ini kepada pembaca semua untuk memberikan maklumat tambahan.  Jika kita melihat hasrat menyediakan Sekolah Bestari ini, dimanakah silapnya? Adakah ia silap perancangan atau silap perlaksanaan?. – HARAKAHDAILY 29/8/2015

Penulis adalah Pengarah IT Pas Pusat.

Share on Myspace