Berjayakah MYCyberSALE2015?

SHUHAIMI EMBONG | .

SEKALI lagi #Mycybersale 2015 yang diusahakan oleh Perbadanan Pembangunan Multimedia (MDec) akan diadakan sekali lagi pada tahun ini dari 28 September hingga 2 Oktober 2015 setelah inisiatif jualan dalam talian terbesar, #MYCyberSALE2014 telah diadakan pada kali pertama pada tahun lepas dari 29hb September, hingga 1hb Oktober, 2014.

Ketua Pegawai Eksekutif Perbadanan Pembangunan Multimedia (MDeC), Datuk Yasmin Mahmood berkata, pada tahun pertama penganjurannya, sambutan juga begitu memberangsangkan kerana mampu menjana perolehan sebanyak RM67 juta daripada 227,000 transaksi pembelian dan jualan malah turut mencatatkan 200 peratus peningkatan trafik dalam talian.

“Program terbabit merupakan inisiatif di bawah Digital Malaysia untuk menjadi pemangkin terhadap pembangunan industri perniagaan elektronik kerana ia berupaya menyumbang terhadap pertumbuhan ekonomi yang cemerlang” katanya dalam sidang akhbar

Perbadanan Pembangunan Multimedia (MDeC) menyasarkan untuk menjana jualan sehingga RM100 juta menerusi kempen atas talian #MYCyberSALE2015 pada tahun ini. Dimaklumkan, jangkaan berkenaan adalah disebabkan penyertaan yang begitu menggalakkan daripada usahawan dalam talian dengan penglibatan sebanyak 400 usahawan termasuklah perusahaan kecil dan sederhana (PKS).

Cukup sayang saya tidak sempat hadir untuk mengikuti secara langsung majlis perasmian dan pelancaran #Mycybersale 2015 baru-baru ini. Diberitahu, ramai usahawan siber dijemput hadir dalam program perasmian dan pelancaran #Mycybersale2015 ketika saya hadir satu bengkel BDA (Bumiputera Development Agenda) anjuran MDeC.

Saya diberitahu, selain menjadi pemangkin pertumbuhan industri e-perniagaan atau e-biz negara, MYCyberSALE ini bermatlamat untuk mempertingkatkan pendapatan e-biz domestik khususnya membantu syarikat Industri Kecil dan Sederhana (IKS) menghasilkan permintaan untuk menawarkan diskaun membeli-belah atas talian kepada pengguna.

Kempen atas talian itu kali ini dianjurkan selama lima hari berbanding dengan tiga hari pada tahun lalu untuk memberikan masa yang lebih lama kepada pengguna untuk membuat pembelian atau melayari 400 syarikat yang menyertainya.

Banyak lagi pengguna atau warga siber yang tidak mengetahui tentang program ini. Ada banyak lagi syarikat yang tidak menyertainya. Sebagai contoh  Islamic Cyberbazaar, MyHarakahbazaar.com tidak turut serta lagi dengan program MYCyberSALE ini tetapi saya yakin jumlah yang disasarkan sebanyak RM100 juta tersebut tidak sukar untuk dicapai. Semoga program ini mampu mencapai sasaran jualan tersebut dan menjadi katalis kepada perkembangan e-biz dinegara ini. – HARAKAHDAILY 12/9/2015

Penulis adalah Pengarah Jabatan IT PAS

Share on Myspace