Tentera Siber mula dapat perhatian pelbagai pihak?

SHUHAIMI EMBONG | .

DATUK Bung Mokhtar Raden (BN-Kinabatangan) berjaya mencuri perhatian apabila membincangkan hal tentera siber ini dalam Sidang Parlimen pada bulan Mei 2015. “Kita perlu ambil langkah sebelum serangan. Sudah terlambat jika mahu menanganinya selepas diserang” katanya ketika sesi perbahasan Rancangan Malaysia Ke-11 (RMKe-11) di Dewan Rakyat
 
Beliau mencadangkan kerajaan mewujudkan peruntukan khas bagi memperkukuhkan pertahanan siber negara dengan membentuk Tentera Siber dengan meminta kerajaan mewujudkan satu ketumbukan baharu untuk menangani ancaman tentera siber apabila negara dikejutkan dengan pendedahan mengenai ancaman siber botnet (robot komputer yang berhubung antara satu sama lain melalui internet) yang menceroboh, mengintip, merekrut botnet komputer negara kita yang dipercayai boleh mengancam keselamatan negara.

Menggodam sistem komputer adalah salah satu strategi dalam serangan siber. Robot botnet adalah jaringan robot yang bukan saja menggodam, malah boleh mengambil alih rangkaian komputer di negara ini termasuk menceroboh sistem perbankan, pengangkutan dan pertahanan negara.

Penyerang siber pernah merekrut 100 botnet server di Korea Selatan sebelum melumpuhkan sistem kewangan dan perbankan sehingga menyebabkan semua urus niaga dan pengeluaran wang gagal selama 24 jam.

Berita Harian baru-baru ini melaporkan, dalam tiga bulan pertama tahun ini sahaja, 365,486 botnet bertindak sebagai tentera siber asing sudah ada dalam negara dan bersedia untuk melancarkan berbagai jenis serangan pada bila-bila masa.

Ketua Pegawai Eksekutif CyberSecurity Malaysia, Dr Amirudin Abdul Wahab berkata, lebih membimbangkan hampir semua sistem adalah produk negara luar dan dibimbangi akan berlaku kebocoran maklumat penting negara.

Pemantauan beliau sejak bulan April lalu mendapati analisis log sistem menunjukkan beribu-ribu serangan dan cubaan menggodam beberapa server, kebanyakannya dari China dan Israel, menggunakan alamat dan nombor IP yang didaftarkan pengendali telekomunikasi negara itu. Salah satu kesannya ialah talian internet perlahan dan pengguna gagal mendapatkan perkhidmatan oleh server yang diserang kerana capaian ke server berkenaan menggunakan talian internet dan nombor IP pengendali telekomunikasi negara ini.

Cybertrooper UMNO dan Read Bean Army (RBA)
 
Sebelum itu menjelang PRU ke-13, negara dihebohkan dengan kewujudan Cybertroopers Umno untuk mempertahankan kerajaan Barisan Nasional (BN) dan Read Bean Army (RBA) yang dikatakan dilakukan oleh satu pihak lagi yang pro kepada DAP untuk mempertahankan Pakatan Rakyat (PR).

Tony Pua, Setiausaha Publisiti DAP pernah  di dalam satu wawancara dengan Malaysiakini dilaporkan mengaku bahawa mereka mempunyai pasukan serangan siber sendiri. Begitu juga dengan parti-parti lain membentuk unit Media Baru masing-masing untuk menangani fenomena media sosial dewasa ini.

Sekarang Umno dan DAP boleh dikatakan ke depan dalam memanfaatkan cybertrooper atau tentera siber ini dalam kalangan BN dan PR. Malah ada dakwaan mengatakan mereka ini adalah petugas sepenuh masa yang dibayar gaji bulanan antara RM3,000 hingga  RM8,000 atau lebih sebulan bergantung kepada pengaruh atau populariti mereka dalam kalangan warga siber.

Saya tidak pasti tugasannya secara spesifik sehingga dibayar begitu mahal sekali sebab itu adalah urusan mereka. Ini adalah diluar kemampuan yang boleh dilakukan oleh PAS yang mempunyai kekangan kewangan. PAS sebagaimana biasanya hanya bergantung kepada sukarelawan yang bertaburan di seluruh pelosok negara.

Sesuai dengan nama cybertrooper Umno, satu jenis  ”pasukan” siber atau nama  lain dikenali sebagai keyboard warrior yang dipandu oleh Umno untuk meninjau dan mencari serta menyampaikan maklumat untuk tindakan Umno seterusnya, tugas  Cybertrooper Umno ini dikatakan bertugas untuk;

1. membuat blog dan berkeliaran dalam Facebook (FB) untuk menyampaikan maklumat tentang kebaikan dan kejayaan  Umno
2. menyerang PR dan parti dalam PR melalui blog dan FB
3. menyerang individu dari PAS, PKR, dan DAP dengan peluru dan modal yang tidak masuk akal dan melampau sehingga kepada tahap merekacipta perkara tidak ada
4. menimbulkan kekeliruan mengenai sesuatu isu yang dibangkitkan dalam media cetak dan media elektronik dengan mengeksploitasi blog dan FB
5. mengalihkan tumpuan dan fokus rakyat daripada penyelewengan dan kepincangan Umno dan pemimpinnya kepada isu lain melalui provokasi
6. mengganggu dan mengacau diskusi blog dan FB yang dilihat membahayakan Umno atau yang boleh menjatuhkan imej dan kredibiliti Umno

Ketika saya bersama dalam satu bual santai yang dianjurkan oleh Bernama Radio bersama dengan Tun Ahmad Faisal, Ketua Unit Media Baru (UMB) Pemuda Umno pada tahun lepas, sempat kami berbincang lebih kurang berhubung dengan prinspip dan etika yang harus ada bagi pengamal-pengamal media baru.   

Dalam dua minggu lepas, pada 5 Oktober, saya ke Kota Bharu apabila diminta membentangkan satu kertas berkaitan cabaran Media Baru PAS dalam ‘Bengkel Merakyatkan Media” saya ada menyebut, PAS perlu memberikan sedikit tumpuan dan perhatian yang lebih serius  dalam menguruskan warga siber ini kerana banyak serangan yang dihadapkan kepada PAS oleh ahli-ahli PAS sendiri khususnya kepada kepimpinan Presiden PAS dari dua pihak yang berselisih pendapat berhubung dengan keputusan-keputusan yang diambil oleh PAS.

Nampaknya kesedaran mula ada tentang pentingnya perkara ini  mula ada bila satu lagi program akan diadakan oleh PAS Kawasan Pasir Puteh yang turut meminta saya hadir untuk membentang tajuk yang hampir sama dalam “Konvensyen Penerangan dan Media Baru”pada 19 Oktober,  hujung minggu ini di Pasir Puteh. – HARAKAHDAILY 18/9/2015

Share on Myspace