Ledakan media baru: Undang-undang siber masih memadai?

SHUHAIMI EMBONG | .

DALAM bulan ini, dua kali saya dijemput Kelantan untuk membentangkan dan membincang satu tajuk  ‘Menangani Ledakan Media Baru’ pada “Bengkel Merakyatkan Media” pada Sabtu, 5 Oktober, 2015 di Kota Bharu, Kelantan dan “Konvensyen Penerangan dan Media Baru” pada Sabtu, 19 Oktober, 2015 di Tok Bali, Kelantan.

Diantara perkara yang saya tekankan dalam kedua-dua pembentangan tersebut, penyebaran atau perkongsian cerita, berita, video grafik dan gambar sesuatu isu atau perkara menerusi media sosial atau istilah popularnya viral adalah kesan ledakan maklumat tanpa sempadan dan had serta perkembangan teknologi komunikasi pada abad ini.      

Bagi saya, ledakan teknologi maklumat dan media baru pada masa ini sudah menjadi trend  yang perlu diterima dan sukar untuk ditolak tetapi perlu ditangani sebaiknya kerana kemajuan telefon bimbit dan peluasan rangkaian komunikasi yang berlaku sekarang bukan sahaja melibatkan kawasan bandar tetapi  turut mencakupi kawasan luar bandar.

Mengikut laporan, kadar penembusan jalur lebar negara secara keseluruhannya mencapai kira-kira 84 peratus membolehkan masyarakat mengakses internet dengan mudah termasuk bertukar maklumat mengenai sesuatu isu, kejadian bencana, kemalangan, kebakaran dan berkongsi gambar.

Setiap individu bertanggungjawab dan menanggung amanah setiap kali mahu memuat turun maklumat untuk dikongsi dalam media sosial kerana ia boleh menjadi viral jika ada pihak tertentu yang mempunyai niat serta agenda tertentu serta cenderung membuat fitnah atau rekaan semata-mata.

Seringkali berlaku ketidakadilan pada individu yang menjadi mangsa keadaan di mana kesan penyebaran maklumat awal lebih mempengaruhi pembaca iaitu masyarakat umum iaitu walaupun disebarkan maklumat terkemudian atau ralat yang bertujuan untuk menjernihkan situasi tetap tidak dapat membetulkan persepsi masyarakat umum terhadap seseorang.
 
VIRAL MEDIA SOSIAL
Saya ada ditanya tentang bagaimana kita hendak tangani fitnah yang berlaku dalam media sosial. Dalam era ledakan maklumat, media sosial sering dijadikan sebagai medium penyebar fitnah dan maklumat palsu pihak tertentu yang mempunyai agenda tersendiri sehingga boleh mengganggu ketenteraman awam dan mencetuskan keresahan rakyat.

Secara jujurnya saya memberitahu, perkara ini sukar untuk dibendung tetapi semua pihak perlu berusaha untuk menanganinya. Perlu diingat, penyebaran berita melalui media sosial terutama perkongsian menerusi laman blog, facebook, twitter, instagram atau aplikasi lain memudahkan sesuatu perkara menjadi sangat popular dan diketahui dengan pantas oleh semua individu serta diakses penduduk di seluruh dunia.

Kesan ledakan maklumat, faktor globalisasi, viral adalah sebahagian asam garam kehidupan masyarakat pada abad ke-21, maka menjadi tanggungjawab rakyat untuk memastikan aplikasi dalam media sosial terus relevan sebagai penyalur maklumat yang positif.

Usaha memboikot penggunaan teknologi dalam media sosial bukanlah satu perkara yang dapat menangani isu penyalahgunaan penyebaran maklumat atau fitnah sebaliknya bergantung kepada kematangan fikiran rakyat atau netizen untuk menentukan buruk dan baiknya.

Kebergantungan semua lapisan masyarakat terutamanya golongan muda terhadap media sosial semata-mata tanpa menyemak dengan sumber-sumber lain untuk mendapatkan keabsahan sesuatu perkara yang disebarkan menyebabkan mereka begitu mudah termakan dakyah palsu yang menjadi viral  telah  memberikan ruang luas kepada perlakuan jenayah media baharu.

Kalau begini kesannya, ada yang mencadangkan untuk memboikot penggunaan media baharu ini. Saya secara tegas menyatakan, kita tidak boleh lari daripada masalah yang ada di hadapan kita, tetapi sebaliknya, kita kena hadapinya dengan cara yang bijak. Kita masih boleh saring berita dan  maklumat yang diterima.

Masyarakat perlu belajar menjadi individu yang lebih bertanggungjawab, berintegriti serta amanah untuk mengelak berlaku salah faham kepada maklumat atau bahan yang dikongsi sehingga mengakibatkan pencerobohan hak peribadi seseorang atau terpaksa menggadai keamanan serta perpaduan sedia ada.

Memang ada negara-negara tertentu yang menyekat akses kepada facebook dan sebagainya, tetapi ia juga tidak menyelesaikan masalah yang ada. Memang ada negara yang bertukar pemerintahan tetapi akhirnya negara berkenaan juga tidak aman juga.  

Sebagai rakyat berilmu, beragama dan berfikiran terbuka, mereka boleh menghentikan viral berita atau perkara, jika diamati sudah ditokok tambah dengan maklumat tidak betul.

PINDA UNDANG-UNDANG SIBER?
Kalau penutupan media sosial gagal menyelesaikan masalah yang berlaku akibat ledakan media baru ini, ada pula yang bertanya, perlukah undang-undang kesalahan siber yang baru perlu digubal.

Sekali lagi saya dihadapkan dengan persoalan yang agak sukar.  Secara mudah, saya bertanya adakah undang-undang siber tidak ada dinegara kita untuk tangani fenomema ledakan media baru atau media siber ini?

Nasib baik saya teringat pada pandangan seorang ahli akademik, Prof Madya Dr Ismail Sualman pensyarah Fakulti Komunikasi dan Pengajian Media Universiti Teknologi Mara (UiTM) Shah Alam. Beliau mengatakan bahawa, ia tidak perlu kerana Akta Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia 1998 sudah memadai dan cukup relevan untuk digunakan terhadap pesalah siber.

Katanya, “Akta sedia ada itu perlu dikaji semula dan diberi nilai tambah bagi memperbaiki beberapa kelemahan dan lompang yang secara tidak langsung melemahkan penguatkuasaan akta itu”.

Beliau menyebut, "Sepatutnya kuasa mutlak diberikan sahaja kepada Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia)  SKMM supaya sesuatu penguatkuasaan dan pertuduhan itu dapat dilakukan terus dengan lebih pantas dan efisien... atau letak sahaja ia (SKMM) di bawah kuasa Kementerian Dalam Negeri".

Saya bersetuju dengan pandangan beliau. Kelemahan pada SKMM adalah mereka ada akta tetapi penguatkuasaan dibuat oleh polis. Apabila sesuatu kesalahan siber dikenal pasti, SKMM perlu membawa kes kepada pihak polis untuk pertuduhan dan ini amat memakan masa untuk membawa pesalah ke muka pengadilan.

Cukuplah dulu catatan saya berkaitan menangani ledakakan media baru pada kali ini. Pada saya, secara peribadi, undang-undang jenayah siber bukan tidak perlu, tetapi undang-undang sedia ada masih memadai bagi SKMM untuk menagangani apa yang berlaku sekarang ini.  – HARAKAHDAILY 22/9/2015

Share on Myspace