Bajet 2016: Hapuskan GST ke atas produk ICT

MOHD SHUHAIMI EMBONG | .

KENYATAAN Media Pertubuhan  Jaringan IT Prihatin Malaysia (JITP Malaysia) menyokong tuntutan Persatuan ICT Kebangsaan Malaysia (PIKOM) kepada kerajaan bagi mengecualikan cukai barang dan perkhidmatan (GST) kepada produk teknologi maklumat dan komunikasi.

Dalam kenyataan ringkas Pengerusi JITP Malaysia, Shuhaimi Embong ketika mengulas kenyataan PIKOM  dalam bajet 2016 yang akan dibentangkan oleh Perdana Menteri Malaysia di parlimen pada 23hb Oktober nanti.

Beliau juga memohon kerajaan segera membatalkan caj GST yang dikenakan kepada panggilan yang dibuat sama ada melalui  prepaid atau  ‘post paid’ oleh pihak telco sekarang ini.

“Peniaga yang ditemui khususnya peniaga kecil tidak meminta agar prasarana diberikan sebaliknya menggesa kerajaan menghapuskan Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST) kerana dianggap membebankan. Dengan menghapuskan GST, pendapatan diterima seperti tahun-tahun sebelum ini dapat dirasai tanpa memikirkan kerugian berterusan,” katanya

Imbasan bajet 2015 untuk ICT
Bajet 2015 diumumkan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak pada 10 Oktober tahun lalu bertemakan Ekonomi Keperluan Rakyat.

Perdana Menteri turut mengumumkan peruntukan sebanyak RM2.7 bilion untuk pembangunan jalur lebar berkelajuan tinggi (HSBB) yang mempunyai signifikan kepada pertumbuhan yang meluas.

Peruntukan itu akan menjadikan Malaysia sebagai sebuah negara yang lebih kompetitif dari segi kos, kelajuan dan liputan berbanding negara-negara serantau yang lain.

Penganalisis Pasaran IDC Financial Insights Asia/ Asia Pasifik, Ho Sui-jon berkata, bajet kali ini juga menunjukkan tumpuan kerajaan dalam pelbagai sektor termasuklah ICT yang dianggap penting untuk pembangunan negara.

Beliau berkata, pihaknya berharap Bajet 2015 dapat merealisasikan Malaysia sebagai sebuah negara yang moden dan berinovasi dalam platform ketiga teknologi yang menjurus kepada teknologi pengkomputeran awam, mobiliti, sosial dan revolusi pengumpulan data kompleks (Big Data).

“Bajet 2015 yang dibentangkan memberi impak secara langsung dan juga tidak langsung dalam sektor ICT. Malah, rasionalisasi pelbagai skim subsidi dilihat memberi petanda positif untuk Malaysia, walaupun sedikit terlambat,” katanya dalam nota penyelidikannya yang dipetik pelbagai media untuk dilaporkan.

Rasionalisasi pelbagai skim subsidi serta peruntukan tertentu terutamanya untuk teknologi maklumat dan komunikasi (ICT) dalam Bajet 2015 dapat mempercepatkan pertumbuhan ekonomi negara serta mewujudkan peluang pekerjaan yang banyak untuk rakyat.

Tambah Sui-jon, suntikan modal sebanyak RM10 juta di bawah Skim Insentif Penyelidikan untuk Usahawan (RISE) bagi tujuan penyelidikan dan pembangunan (R&D) dalam sektor berteknologi tinggi, ICT dan industri berasaskan pengetahuan dapat menjadi pemangkin kepada pertumbuhan pelaburan langsung asing (FDI) di negara ini.

Katanya, RISE juga boleh dikembangkan untuk manfaat pelabur-pelabur asing sebagai satu insentif yang bertepatan pada masanya.

“Syarikat multinasional yang besar seperti Intel dan AMD sudah lama bertapak di negara ini dan terkenal dengan sektor R&D mereka yang kompetitif dengan rakan-rakan pesaing yang berada di negara-negara Asia.

“Pemberian insentif seperti RISE kepada usahawan-usahawan tempatan dan juga pelabur-pelabur asing dijangka meningkatkan lagi daya saing perniagaan di negara ini,” ujarnya.

Harapan PIKOM dan warga pendidik dalam bajet 2016

Pengerusinya, Cheah Kok Hoong berkata tahun lepas, PIKOM gagal mendapatkan kelulusan kerajaan untuk memberikan kadar sifar bagi produk ICT. "Kami tidak berputus asa dalam usaha kami, terutamanya untuk barang perkakasan," Cheah berkata permintaan ini dibuat bagi melindungi mereka yang terlibat dalam industri.  

Dalam laporan dipetik Bernama, beliau memberitahu kepada pemberita di luar acara Sidang Kemuncak Kepimpinan ICT PIKOM - Pertubuhan Industri Pengkomputeran Asia-Oceana yang diadakan dari 6 hingga 7 Oktober lepas.

"Sebelum pelaksanaan GST pada 1 April, 2015, PIKOM telah mengeluarkan kenyataan yang mengatakan bahawa akan ada kenaikan harga sebanyak 30 peratus bagi produk ICT," katanya. Bagaimanapun, kenaikan harga bukan semata-mata disebabkan oleh GST kerana terdapat banyak faktor lain seperti kadar pertukaran dan inflasi.    

Sementara, Warga pendidik mencadangkan kerajaan memperuntukkan dana tambahan untuk alat bantu mengajar bidang teknologi maklumat dan komunikasi (ICT) bagi membolehkan pelan pendidikan percuma disertakan dalam belanjawan 2016.

Kementerian Pendidikan mengharapkan peruntukan dalam pembangunan Teknologi Maklumat dan Komunikasi (ICT) di semua sekolah, terutamanya sekolah vokasional teknik dan sekolah di luar bandar dalam Bajet 2016 yang akan dibentangkan pada 23 Oktober nanti.

Menterinya, Datuk Seri Mahdzir Khalid berkata sekolah vokasional dan teknik memerlukan peruntukan yang lebih bagi pembangunan prasarananya untuk menaik taraf dan memenuhi taraf pendidikan yang berkualiti.

Pada masa sama, peruntukan yang diharapkan oleh Kementerian Pendidikan adalah bagi perbelanjaan penyelenggaraan dan membaik pulih kemudahan sekolah yang sedia ada. – HARAKAHDAILY 20/10/2015

Penulis adalah Pengerusi Pertubuhan Jaringan IT Prihatin Malaysia

Share on Myspace