Bajet 2016 tidak mesra ICT?

Shuhaimi Embong | .

KETIKA saya menulis kolum ini, telah lebih seminggu bajet 2016 sejak dibentangkan oleh Perdana Menteri, Datuk  Seri Najib Tun Abdul Razak iaitu pada jumaat, 23 Oktober, 2015 lepas.

Sana sini rakyat masih membincangkan intipati daripada bajet dan apakah ‘goodies’ yang mereka dapat daripada pembentangan ‘Bajet 2016 mensejahterakan kehidupan rakyat’ tersebut.

Sebelum bajet tersebut dibentangkan baru-baru ni, Pertubuhan Jaringan IT Prihatin Malaysia mengambil pendirian menyokong tuntutan Persatuan Industri Komputer Malaysia (PIKOM) bagi mengecualikan cukai barang dan perkhidmatan (GST) kepada produk teknologi maklumat dan komunikasi.

Kenyataan Media Pertubuhan Jaringan IT Prihatin Malaysia (JITP Malaysia) menyokong tuntutan  memohon kerajaan segera membatalkan ‘charge GST’ yang dikenakan kepada panggilan yang dibuat sama ada melalui  prepaid atau  ‘post paid’ oleh pihak telco sekarang ini.

Dalam bajet 2016 baru ini hanya prepaid sahaja yang diberikan pengecualian GST tersebut dengan memberikan rebat. Dari segi untuk mengurang jurang digital dalam kalangan masyarakat kurang berupaya untuk menikmati kemudahan berkaitan ICT tidak banyak yang dilakukan oleh kerajaan dalam bajet 2016 ini.

Timbul pula persoalan kenapa post paid juga tidak diberikan pengecualian GST? Begitu juga dengan GST yang dikenakan ketas barangan-barangan ICT yang lain seperti gajet telefon, komputer dan sebagainya yang perlu dimasukkan dalam senarai yang dikecualikan GST.   

Perkara ini perlu dibahaskan oleh Ahli Parlimen dalam sidang bajet yang sedang berlangsung sekarang. Ini penting untuk membantu peniaga kecil yang terkesan dengan perlaksanaan GST sejak April tahun lepas.

Internet dan tambah baik telekomunikasi luar bandar
Peruntukan sebanyak RM1.2 bilion kepada Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) bagi menambahkan telekomunikasi negara pada tahun hadapan mungkin tidak mencukupi.

Peruntukan itu antara lain difahamkan untuk menambahkan kelajuan internet luar bandar kepada empat kali ganda daripada 5 megabits sesaat (Mbps) kepada 20Mbps, membangunkan Infrastruktur Tulang Belakang Fiber Negara, jalur lebar berkelajuan tinggi dan sistem kabel dasar laut.

Seperti dinyatakan oleh Timbalan Menteri Komunikasi dan Multimedia di Dewan Rakyat sebelum ini, pengguna internet yang aktif di negara kita kini melebihi 20.1 juta orang terutamanya golongan muda bagi medan sosial, media baru yang akses kepada maklumat yang cepat.   

Adalah diharapkan dengan peruntukan telekomunikasi yang besar ini, kerajaan dapat menumpukan membangun atau menaik taraf infrastruktur telekomunikasi kawasan luar bandar terutama yang menjadi tempat tumpuan pelancongan seperti Tasek Kenyir, Gunung Kinabalu, Taman Negara dan sebagainya supaya komunikasi di kawasan ini berlangsung dengan lebih baik.    

Dalam masa yang singkat ini, pihak kerajaan perlu menggandakan usaha mereka untuk memodenkan negara, bukan sahaja dari segi infrastruktur tetapi juga dari segi aplikasi dan penggunaan setiap warga rakyat.

Sememangnya infrastruktur untuk membina menara telekomunikasi dan juga untuk kerja-kerja meluaskan rangkaian broadband di seluruh negara amat penting, tetapi penggunaan teknologi ICT yang meluas dan efektif perlu diberi penekanan juga.

Usaha ini dapat meningkatkan lagi golongan celik IT dalam kalangan masyarakat kampung di luar Bandar. Dalam masa yang sama masyarakat bandar terus dapat melaksanakan tugas dengan lebih aktif dan efisyen menggunakan aplikasi yang telah dibangunkan tetapi tersangkut-sangkut disebabkan capaian internet yang rendah.

Memang anak-anak muda sekarang ini terutama Gen Y lebih gemar menggunakan telefon pintar (smart phone)  untuk mendapat maklumat dengan melayari pelbagai media yang ada dalam capaian internet berbanding dengan menonton televisyen dan membaca akhbar cetak.

Dengan adanya RM250 juta untuk perlaksanaan projek pendigitalan nasional akan berjaya meningkatkan kualiti audio visual dan data interaktif untuk menganjak negara kita ke arah “digital economy”.

Dengan erti kata lain, program pendigitalan Malaysia ini perlu mempunyai objektif yang cukup jelas untuk memajukan sektor “information and communications technology” (ICT) negara setanding dengan negara-negara maju yang lain. Wawasan 2020 tinggal hanya lima tahun lagi. – HARAKAHDAILY 3/11/2015

Penulis adalah Pengerusi Pertubuhan Jaringan IT Prihatin Malaysia.

Share on Myspace