Harakah beralih kepada bisnes online?

SHUHAIMI EMBONG | .

HARAKAH, mula diterbitkan seminggu sebelum muktamar PAS pada tahun 1987 setelah mendapat permit penerbitan sejak 1 Mac, 1987 sebagai surat berita atau dalam istilahnya akhbar pertubuhan tetapi kandungannya selain meliputi hal ehwal pertubuhan, ia boleh muatkan “rencana umum” dengan kekerapan seminggu sekali.

Sejak itu, Harakah menjadi organ penerangan (ie. Jabatan Penerangan) Parti Islam SeMalaysia (PAS) yang telah membantu membawa PAS daripada sebuah parti politik dan gerakan Islam yang eksklusif kepada sebuah parti politik yang inklusif terbuka kepada pelbagai fahaman politik yang berbeza tetapi berasaskan kepada keadilan Islam yang universal.

Harakah diterbitkan untuk membina masyarakat melalui penyebaran ilmu dan menyampaikan informasi serta penerangan secara menyeluruh kepada semua pihak dengan menggunakan media penerbitan.

Dengan kandungan meliputi pelbagai perkara yang menyentuh pelbagai aspek Islam seperti tazkirah, khutbah, rencana dan berita umat Islam di dalam dan luar negara, Harakah merupakan ‘media utama’ penyebaran risalah Islam dan penerangan PAS kepada masyarakat apabila edarannya melebihi 100,000 naskah setiap keluaran.

Malah edaran tertinggi harakah pernah mencecah kepada 400,000 naskah dengan 2 keluaran seminggu menjelang pilihan raya umum ke-10 pada tahun 1999 menjadikannya dua kali ganda daripada edaran akhbar-akhbar utama negara ketika itu  

Dengan pengaruh harakah yang begitu meluas, menyebabkan ia pernah beberapa kali digantung dan dikenakan berbagai sekatan bagi menghalang edarannya dalam masyarakat. Umpamanya, pada tahun 2000, penerbitannya disekat menjadi dua kali sebulan dengan edaran kepada ahli PAS sahaja sebelum dikembalikan semula penerbitannya dua kali seminggu pada tahun 2008.

Kajian terhadap perangkaan edaran dan pembaca suratkhabar di Amerika Syarikat dan Eropah Barat menunjukkan kedua petunjuk utama tersebut mengalami trend menurun. Hal ini kerana kajian mendapati portal berita atau berita atas talian dan blog yang telah berjaya menarik ramai orang untuk menggunakannya sebagai sumber utama berita dan maklumat menyebabkan pembaca mengalih minat kepada internet.

Berhadapan dengan kos operasi yang tinggi, para penerbit suratkhabar kini mempersoalkan arahtuju perniagaan mereka pada masa depan. Dengan  perubahan kecenderungan pembaca kini, sedikit sebanyak menyebabkan suratkhabar mengalami penurunan edaran dan jumlah pembaca. Dengan itu banyak suratkhabar telah melancarkan laman web berita mereka sendiri dan ada antaranya telah berjaya menarik pembaca.

Apatah lagi bagi generasi muda hari ini, media  cetak khususnya suratkhabar tidak lagi jadi sumber utama berita dan maklumat kepada mereka. Gen X dan Y ini telah beralih kepada media baru seperti berita  online, laman blog dan klasified iklan online serta pelbagai media sosial (ie instagram, facebook, twitter, telegram, WeChat dan lain-lain).

Produk Digital Harakah

Sebenarnya, website Harakahdaily.com telah dimulakan seawal pada tahun 1997 lagi oleh pendokong-pendokong IT PAS dengan ‘outsource’ kepada webmaster dari luar Harakah untuk siarkan bahan-bahan yang ada dalam akhbar harakah terutamanya berita-berita utama dan kolum-kolum penting.

Dengan perkembangan teknologi maklumat dan komunikasi (ICT) yang begitu pesat, Harakah segera memanfaatkan teknologi ini dengan mengadakan portal berita yang dinamakan Harakahdaily.net sebagai versi online Harakah secara aktif mulai tahun 2000, selepas PRU ke-10.

Apabila kerajaan mengenakan sekatan terhadap penerbitan akhbar Harakah pada tahun 2000 daripada dua kali seminggu kepada dua kali sebulan, Harakah telah bersedia dengan versi internet yang boleh dilayari setiap hari. Ia juga secara tidak langsung merealisasikan hasrat Harakah untuk menjadi akhbar harian yang masih belum terlaksana.

Serentak dengan kemunculan Harakahdaily, Harakah juga memulakan usaha mengadakan HarakahTV tetapi sempat bertahan selama setahun sahaja. Kemudian projek webtv telah dihidupkan semula dengan nama TVPAS bagi menghadapi PRU ke-12 pada 2008. Selepas itu, mulai 2009 TVPAS telah diserahkan semula kepada Harakah untuk digabungkan Harakahdaily untuk dijadikan segmen video dalam Harakahdaily.

Perkembangan IT dalam Harakah agak perlahan kerana tidak ada unit IT yang khusus dibentuk untuk tujuan ini. Unit IT Harakah hanya mula dibentuk pada tahun 2009 untuk mempersiapkan Harakah dapat menjadi terus relevan dalam arus perkembangan media cetak yang mula merudum ekoran kehadiran internet dan pelbagai media baru yang mengancam dominasi akhbar dan media cetak sebelum ini khususnya kepada generarasi muda.

Pada Muktamar PAS ke-55 pada tahun 2009 di Shah Alam, Unit IT Harakah yang baru dibentuk pada ketika itu, Pengurusan Harakah telah melancarkan Akhbar Harakah Digital atau dikenali sebagai epaper Harakah (eharakah) oleh Presiden PAS sebagai satu persiapan awal untuk membina produk digital harakah.

Dengan berkembangnya teknologi broadband dan capaian internet di negara kita, epaper ini merupakan pilihan masa depan yang sangat baik. Epaper ini adalah anda membaca akhbar digital versi online, sama seperti membaca akhbar cetak atau print. Bezanya adalah ia dicapai diatas talian dan boleh dicetak sendiri jika dikehendaki oleh pembaca online.
 
Tidak cukup dengan eharakah sebagai satu produk digital, Unit IT harakah terus meneroka lain-lain produk digital untuk membina perpustakaan maya atau digital library dengan memulakan proses pendigitalan bahan-bahan ilmu yang terkandung di dalam lipatan akhbar, buku-buku dan kitab tafsir yang diterbitkan oleh Harakah untuk dimasukkan ke dalam arkib digital.

Dengan ini, bahan bacaan seperti kitab dan buku-buku rujukan ini akan dijadi ebook, ekitab dan sebagainya supaya lebih mudah dicapai dan ditelaah melalui simpanan di perpustakaan maya atau Arkib Digital yang dibina dibawah jenama Myharakah.net melalui konsep Single Sign On (SSO) atau di alamat sso.myharakah.net

Selain epaper Harakah dan ebook, Arkib Digital ini juga menyimpan koleksi gambar yang dimiliki oleh Harakah dan berita-berita Harakahdaily yang telah diarkibkan untuk dikongsikan dengan peminat-peminat harakah.  

Istiqamah ‘passport’ kepada Produk Digital

Untuk tujuan ini, pada Muktamar PAS ke-61 yang lepas, sekali lagi Presiden PAS bersetuju untuk melancarkan ‘Kad Istiqamah’ yang menjadi ‘passport’ atau kunci kepada Arkib Digital atau Perpustakaan Maya MyHarakah.net ini. Arkib Digital eHarakah telah dikemaskini kebelakang sehingga tahun 2011 dan Harakahdaily sehingga 2005.  

Sebagaimana yang diiklankan, Kad Istiqamah pelbagai fungsi ini terdiri daripada 3+1 kategori, iaitu Kad Istiqamah Silver untuk melayakkan mereka kumpul mata ganjaran bagi setiap pembelian sama ada di myharakah bazaar atau secara online di myharakahbazaar.com  (mesti di ‘top up’ minima sebulan untuk akses kepada produk digital yang terhad, epaper sahaja bagi menggantikan konsep jualan epaper  sebelum ini).

Harakah menawarkan Kad Istiqamah Gold (untuk tempoh dua tahun) dan Platinum (untuk tempoh lima tahun) bagi ahli yang hendak derma RM10 kepada PAS  dan juga diberikan pelindungan khairat kematian (RM500 kepada pemegang kad dalam tempoh sah) selain mendapat akses kepada produk digital harakah, seperti epaper, ebook, egambar dan arkib harakahdaily.

Satu lagi keistimewaan yang ada kepada pemegang kad Istiqamah Platinum yang tidak ada kepada pemegang kad Istiqamah yang lain adalah, mereka boleh memohon dan berdaftar dengan Harakah untuk menjadi ejen kad Istiqamah di bawah konsep sistem ‘member get member’ yang baru dilancarkan pada 11 November, 2015 oleh Pengarah Urusan Harakah.  

Selain produk Harakah, MyBazaar Harakah juga bersetuju mengendalikan produk Kohilal atau Koperasi Al-Hilal. Jadi setiap pembelian produk Hilal di Myharakahbazaar atau secara online, Myharakahbazaar.com, pemegang kad istiqamah tersebut akan dapat mengumpul mata ganjaran atas asas ‘RM 1 dengan 1 mata ganjaran’ yang boleh ditebus semula oleh pemegang kad tersebut. – HARAKAHDAILY 12/11/2015

Penulis adalah Pengerusi Pertubuhan Jaringan  IT Prihatin Malaysla. 

Share on Myspace