Simpati akan nasib pemandu teksi

SHUHAIMI EMBONG | .

PADA  18 November 2015, saya diberitahu dalam beberapa kumpulan sembang maya melalui aplikasi Whatsapp yang saya sertai memaklumkan bahawa Jawatankuasa Bertindak Pemandu Teksi Lembah Kelang mengadakan Perhimpunan Aman Besar-Besaran Pemandu Teksi di Padang Merbuk, Kuala Lumpur.

Saya memang jarang menggunakan perkhidmatan teksi, jadi tidaklah mengambilberat sangat hal tersebut sehinggalah membacanya dalam aplikasi Whatsapp apabila ramai yang membincangkannya.

Seorang rakan mengajak untuk menemani beliau untuk bertemu dengan pemimpin-pemimpin persatuan teksi bagi memberikan sokongan moral kepada mereka. Saya terfikir, apa yang  patut saya buat sebagai Pengerusi Pertubuhan Jaringan  IT Prihatin (JITP)  Malaysia, kerana isu teksi tersebut yang tidak ada kaitan sangat dengan perjuangan NGO JITP Malaysia secara langsung.

Implikasi MyTeksi GrabCar Teksi Uber  

Ketika ditapak perhimpunan, saya berjumpa dengan dua orang pemimpin persatuan teksi yang hadir, iaitu Saari Omar dan Maniam. Saari adalah Pengerusi Persatuan Pemandu Teksi Berwawasan Putrajaya Selangor dan Maniam pula Pengerusi Persatuan Kebajikan Pemandu Teksi KL dan Selangor.  

Ketika berbincang dengan dua pemimpin persatuan tersebut banyak keluhan pemandu teksi ini tidak diambil peduli oleh pihak berkuasa yang dipertanggungjawabkan.

Saya tidak bercadang untuk menulis apa luahan mereka sepenuhnya tetapi membincangkan serba sedikit berkaitan dengan tuntutan ‘mengharamkan’ aplikasi telefon pintar seperti MyTeksi Grabcar, kereta sewa UBER dan lain-lain Aplikasi Kereta Sapu yang tertera pada risalah yang diedarkan oleh jawatankuasa tersebut.  

'GrabCar', UBER dan Blakline adalah aplikasi dalam talian dalam telefon pintar untuk menawarkan perkhidmatan mengambil penumpang seperti perkhidmatan ‘kereta sewa atau teksi dengan mengguna kereta biasa dan pemandu pula tidak perlu mempunyai kad pemandu untuk berbuat demikian seperti seolah-olah mempunyai pemandu peribadi untuk menghantar dari destinasi yang diambil ke tempat yang dituju dengan bayaran dibuat melalui online terlebih dahulu.
 
Dari segi pelanggan, perkhidmatan ini adalah baik kerana ia memudahkan mereka. Malah ada yang memberitahu, keadaan keretanya dan layanan yang diberi pemandunya adalah memuaskan dan selesa dan membuatkan saya memilih untuk menggunakannya sebagai pengangkutan pilihan mereka kerana menawarkan kadar tambang yang amat berpatutan berbanding teksi yang mengenakan bayaran berdasarkan penggunaan meter.

Perkhidmatan “teksi haram” tersebut dikatakan telah menjejaskan kira-kira 40 peratus pendapatan pemandu teksi konvensional yang sedia ada dan berharap Suruhanjaya Perkhidmatan Awam Darat (SPAD) dan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (SKMM) dapat bekerjasama untuk menangani masalah ini supaya ia tidak berleluasa kerana perkara ini telah menimbulkan pergaduhan antara pemandu teksi biasa.

Mengikut dakwaan mereka,  pemandu Uber,  GrabCar dan Blackline didapati tidak menggunakan meter, tidak mempunyai perlindungan insurans penumpang, menggunakan kenderaan persendirian dan pemandunya tidak mempunyai lesen Kenderaan Perkhidmatan Awam (PSV).

Malah turut boleh membahayakan nyawa penumpang kerana perkhidmatan itu tidak mempunyai perlindungan insurans.

Sebelum ini difahamkan SPAD ada mengumumkan perkhidmatan Uber dan GrabCar tidak sah kerana kedua-duanya tidak mempunyai lesen untuk mengangkut penumpang dan menyalahi undang-undang di bawah Seksyen 16 Akta Pengangkutan Awam Darat (APAD).

“Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (SPAD) sendiri kini tidak menang tangan untuk menangani masalah ini kerana mereka tiada kuasa untuk mengharamkan penggunaan aplikasi tersebut.

Apabila mendengar sendiri keluhan pemandu-pemandu teksi, Pertubuhan Jaringan IT Perihatin Malaysia merasakan adalah sukar bagi kerajaan untuk menghalang perkembangan teknologi  membawa ‘aplikasi teksi dalam talian’ kesan dari globalisasi yang berlaku pada hari ini.

Dalam pada itu, saya secara peribadi merasakan bahawa adalah tidak adil pada kerajaan kerana membiarkan ‘teksi haram’ tidak dikenakan sebarang lesen dan permit untuk menjalankan perniagaan mengambil penumpang berbanding dengan pemandu teksi yang dikenakan berbagai-bagai bayaran apabila lesen dan permit teksi tidak diberikan kepada individu tetapi sebaliknya mereka terpaksa menyewa permit daripada syarikat- teksi yang ‘dilesenkan’ oleh kerajaan. – HARAKAHDAILY 20/11/2015

Penulis adalah, Pengerusi Pertubuhan Jaringan IT Prihatin Malaysia

Share on Myspace