Mara Digital: Mampukah usahawan ICT Bumiputera bertahan?

SHUHAIMI EMBONG | .

KEWUJUDAN Mara Digital di Menara MARA, Kuala Lumpur dilihat sebagai alternatif kepada pengguna dan membuka ruang khususnya kepada usahawan Bumiputera mempunyai pusat perniagaan ICT yang tersendiri.

Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dilaporkan media berkata, “Penubuhan pusat perniagaan yang dikhususkan untuk peniaga bumiputera itu telah direalisasikan selepas tiga bulan cadangan pelaksanaannya Digital Mara sama seperti pusat perniagaan ICT yang lain. Mereka menjual gajet dan aksesori yang sama. Pusat IT ini walaupun peniaganya 100 peratus di kalangan Melayu dan Bumiputera tetapi untuk penggunanya saya harap ia meliputi semua kaum,” katanya ketika merasmikan pusat Mara Digital pada Selasa, 8 Disember lepas.

Apa pun saya ucapkan tahniah pada MARA yang dikatakan agensi menjadi “paying orang Melayu” sanggup memulakan usaha Perniagaan ICT di Menara MARA ini. Sekurang-kurangnya ia memberikan pilihan kepada pelanggan yang tidak sempat pergi ke Bukit Bintang yang sentiasa sibuk.

Saya tidak sempat hadir untuk melihat sendiri, pelancaran “Lowyat 2” yang digembar-gemburkan oleh warga maya setelah berlaku kekecohan “perkauman”  di Plaza Low Yat di Bukit Bintang.

Saya juga benar-benar berharap ia tidak menjadi hangat-hangat tahi ayam atau respons kepada marah kepada apa yang berlaku di Low Yat tempohari tanpa MARA dan Menteri yang bertanggungjawab juga mempunyai perancangan bagi memastikan perniagaan ICT bumiputera ini mampu berdaya saing dalam bidang perniagaan ICT.

Menteri berkenaan cepat menagkis soalan-soalan sinis dari pelbagai pihak bila ada yang mengatakan, pusat digital MARA ini mampu bertahan selama 3 bulan sahaja. Malah beliau semacam terdesak bila dilaporkan berkata, "Kita jangan dengar cakap-cakap MARA tidak mampu bertahan. Anggap ini sebagai cabaran untuk terus maju. Saya yakin dengan apa yang Mara lakukan hari ini, akan melahirkan lebih ramai usahawan dari kalangan Bumiputera khususnya dalam bidang ICT ini.

Saya juga berharap ia mampu bertahan lebih daripada 6 bulan kerana peniaga di situ dikecualikan membayar sewa selama enam bulan dan Digital MARA ini boleh berkembang lebih daripada satu tingkat terletak di Aras 3 Menara MARA dengan 38 ruang niaga untuk memberikan lebih pilihan kepada pengguna untuk mendapatkan barangan lebih murah dan juga memberikan peluang perniagaan ICT kepada usahawan bumiputera yang lain juga.  

Bagi rakyat terbanyak adalah MARA Digital ini perlu dibuka dinegeri-negeri di luar lembah Klang ini untuk membolehkan orang-orang Melayu di sana mendapatkan gajet ICT dengan harga yang lebih murah dan berpatutan bila usahawan-usahawan bumiputera terpaksa bersaing secara sihat di bawah satu bumbung seperti yang dilakukan oleh MARA dan Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah.

Sebagai contoh mudah, mungkin Timbalan Menteri Komunikasi dan Multimedia yang juga Ahli Parlimen Hulu Terengganu berkerjasama dengan Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah ini, untuk buka MARA Digital di Kuala Berang ataupun setidak-tidaknya di Kuala Terengganu untuk memberikan pilihan yang lebih baik kepada rakyat negeri tersebut.   – HARAKAHDAILY 14/12/2015

Share on Myspace